Zaid Salim

Kuala Berang: Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) memperuntukkan RM900,000 untuk disalurkan kepada penduduk dalam wilayah berkenaan yang terkesan pandemik Covid-19 untuk membuat persiapan menyambut Aidilfitri.

Pengerusinya, Senator Datuk Razali Idris berkata, peruntukan daripada Tabung Amanah Masyarakat Ketengah (TAMK) itu disalurkan kepada penduduk menerusi beberapa siri program yang digerakkan Skuad Ketengah Ambik Cakne bermula semalam.

"Seramai 4,500 individu akan menerima bantuan sebanyak RM200 seorang.

"Bantuan turut diberikan kepada pesakit kronik dan golongan orang kurang upaya (OKU) di wilayah ini," katanya pada Majlis Ketengah Ambik Cakne -Penyampaian Sumbangan Tabung Amanah Masyarakat Ketengah (TAMK), di sini.

Turut hadir Pengurus Besar Ketengah, Tengku Ahmad Nazri Tengku Musa dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ajil, Maliaman Kassim.

Selain itu, beliau berkata, Skuad Ketengah Ambik Cakne juga giat mengadakan kempen termasuk membantu penduduk khususnya golongan berusia mendaftar Aplikasi MySejahtera.

 Razali (Kanan) dan Maliaman menyantuni penduduk yang terlantar akibat kemalangan jalan raya, pada Program KETENGAH Ambik Cakne - Penyampaian Sumbangan Tabung Amanah Masyarakat Ketengah (TAMK) sempena Hari Raya Aidilfitri di Dewan Serba Guna Kampung Landas, Ajil, Kuala Berang. FOTO ZAID SALIM

"Saya percaya masih ramai warga Ketengah yang belum mendaftar sebagai penerima vaksin.

"Kita mahu semua penduduk yang layak menerima vaksin menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan dalam wilayah ini menerima suntikan ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 April 2021 @ 2:35 PM