Baharom Bakar


Dungun: Lembaga Kemajuan Terengganu Ketengah (Ketengah) menyediakan 27.6 tan metrik beras untuk diagihkan kepada 3,210 Ketua Isi Rumah (KIR) yang terkesan susulan pelaksanaan Sekatan Pergerakan Penuh (SPP).

Pengerusi Ketengah, Senator Datuk Razali Idris berkata, barangan lain yang turut disediakan adalah 3.3 tan metrik gula, minyak masak (3.3 tan metrik) dan tepung gandum (2.8 tan) serta pelbagai barangan keperluan asas lain termasuk susu pekat manis, sardin, biskut dan bihun.

Katanya, bantuan barangan keperluan asas akan mula diagihkan hari ini oleh skuad Ketengah Ambik Cakne di setiap kawasan Dewan Undangan negeri (DUN).

"Ketengah memperuntukkan RM337,000 untuk membantu meringankan beban penduduk yang terkesan susulan pelaksanaan SSP dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 termasuk penduduk tinggal di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

"Proses penyerahan bekalan asas itu disampaikan kepada semua Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) untuk diagihkan kepada penduduk, terutama golongan B40," katanya selepas menyaksikan kerja pembungkusan dan penyampaian barangan di Bandar Almuktaffi Billah Shah (AMBS), hari ini.

Majlis penyerahan kepada Ketua Bahagian BERSATU dan pengerusi masjid serta JPPK disempurnakan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Ketengah Holding Sdn Bhd (KHSB), Mohd Zaid Sulaiman.

Turut hadir, Pengurus Besar Ketengah, Tengku Ahmad Nadzri Tengku Musa.

Razali yang juga Timbalan Pengerusi Majlis Senator Malaysia (MSM) berkata, bantuan wang tunai secara bayaran berserta dengan barangan keperluan asas itu hanya membabitkan penduduk yang tinggal di wilayah Ketengah.

RAZALI (dua kanan) dan Tengku Ahmad (dua kiri) menyaksikan penyerahan barangan keperluan asas oleh Mohd Zaid (kanan). FOTO Baharom Bakar
RAZALI (dua kanan) dan Tengku Ahmad (dua kiri) menyaksikan penyerahan barangan keperluan asas oleh Mohd Zaid (kanan). FOTO Baharom Bakar

Katanya, 918 penduduk yang tinggal di wilayah Ketengah akan menerima barangan keperluan asas bernilai RM70 dan wang tunai sekali bayaran berjumlah RM30, berbanding nilaian barangan berjumlah RM100 kepada penduduk yang tinggal di luar kawasan Ketengah.

"Kita memutuskan mengagihkan bantuan wang tunai sekali bayaran sebanyak RM30 kepada penduduk di kawasan wilayah Ketengah bagi membantu mereka membeli barangan basah seperti ikan, ayam dan sayur-sayuran," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Jun 2021 @ 11:58 AM