Baharom Bakar
am@hmetro.com.my


Chukai: Sembilan jam diambil skuad Ketengah Ambik Cakne untuk membersih kawasan di Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Kubu, di sini, pada program gotong-royong pasca banjir, semalam.

SK Padang Kubu antara sekolah di daerah Kemaman yang ditenggelami air kira-kira 0.6 meter ketika banjir melanda negeri ini mulai Isnin lalu.

Gotong-royong itu bermula kira-kira 10 pagi dan berakhir kira-kira 7 malam.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH), Senator Datuk Razali Idris menjelaskan, 50 anggota skuad Ketengah Ambik Cakne dikerah untuk melakukan kerja pembersihan di sekolah berkenaan.

Jelasnya, 43 sekolah rendah dan 16 sekolah menengah berada dalam kawasan pentadbiran Ketengah.

RAZALI (dua kiri) dan Tengku Ahmad ketika gotong-royong pasca banjir di SK Padang Kubu. FOTO Baharom Bakar
RAZALI (dua kiri) dan Tengku Ahmad ketika gotong-royong pasca banjir di SK Padang Kubu. FOTO Baharom Bakar

"Kita sedang berusaha untuk mendapatkan maklumat lanjut jumlah keseluruhan sekolah menengah dan rendah di kawasan Ketengah yang ditenggelami air ketika bencana banjir gelombang kelima melanda negeri ini, terutamanya membabitkan daerah Kemaman dan Dungun.

"Pengurusan Ketengah memutuskan memberi keutamaan membantu pengurusan sekolah melakukan gotong-royong pasca banjir sebelum sesi persekolahan bermula pada Rabu depan," katanya pada media selepas mengetuai program Ketengah Ambik Cakne gotong royong pasca banjir di SK Padang Kubu, di sini, semalam.

Turut menyertai gotong royong pasca banjir adalah Pengurus Besar Ketengah, Tengku Ahmad Nadzri Tengku Musa; Ketua Pegawai Eksekutif Ketengah Holding Sdn Bhd (KHSB), Mohd Zaid Sulaiman; dan Guru Besar SK Padang Kubu, Zainal Subari Abu Bakar.

Pegawai serta anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Daerah Kemaman, guru serta ibu bapa pelajar turut menyertai gotong-royong itu.

Razali yang juga Timbalan Majlis Senator Malaysia (MSM) berkata, semua sekolah menengah dan rendah di kawasan pentadbiran wilayah Ketengah, terutama yang ditenggelami banjir perlu dibersih bagi memastikan sesi persekolahan yang dijangka bermula Rabu depan berjalan lancar.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 January 2021 @ 2:11 PM