RAZALI (dua kanan) menyampaikan sumbangan kepada imam sambil disaksikan Tengku Ahmad Nadzri (kanan). FOTO BAHAROM BAKAR.
RAZALI (dua kanan) menyampaikan sumbangan kepada imam sambil disaksikan Tengku Ahmad Nadzri (kanan). FOTO BAHAROM BAKAR.
Baharom Bakar


Dungun: Sebanyak 143 masjid dan surau di kawasan Wilayah Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) menerima sumbangan pengimarahan berjumlah RM68,000.

Turut menerima sumbangan kewangan adalah 252 imam dan bilal yang bertugas di semua masjid serta surau membabitkan peruntukan RM50,400.

Pengerusi Ketengah, Datuk Razali Idris berkata, sumbangan itu sebagai tanda penghargaan kepada masjid dan surau, termasuk imam serta bilal yang berjaya memainkan ke arah pengimarahan institusi islam dalam Wilayah Ketengah.

Beliau berkata, terdapat 54 masjid serta 89 surau di kawasan Wilayah Ketengah dan setiap masjid menerima sumbangan RM600 manakala surau RM400 membabitkan peruntukan keseluruhan berjumlah RM68,000.

"Setiap imam dan bilal pula menerima sumbangan sekali bayaran sebanyak RM200 seorang membabitkan peruntukan keseluruhan berjumlah RM50,400.

"Sumbangan kepada masjid dan surau termasuk imam serta bilal itu menggunakan kewangan daripada tabung Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Ketengah Holding Sdn Bhd (KHSB)," katanya kepada media selepas merasmikan penyampaian bingkisan Ramadan Institusi Islam Wilayah Ketengah di Pusat Komuniti Desa di Bandar Al Muktafi Billah Shah (AMBS), di sini, hari ini.

Hadir sama, Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli; Pengurus Besar Ketengah, Tengku Ahmad Nadzri Tengku Musa dan Ketua Pegawai Eksekutif KHSB, Mohd Zaid Sulaiman.

Razali yang juga Ahli Dewan Negara berkata, bagi menyemarakkan Ramadan bermula esok, program bicara ilmu semarak Ramadan akan diadakan di semua masjid dan surau di Wilayah Ketengah.

Beliau berkata, Ketengah bersetuju menyalurkan bantuan pembangunan berjumlah RM20,000 kepada empat pusat tahfiz berdaftar dengan Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Terengganu (Maidam).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 April 2021 @ 11:08 AM