Baharom Bakar


Dungun: Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) menyegerakan penghantaran kit makanan bencana untuk meringankan bebanan semua penduduk di wilayahnya yang terjejas dengan banjir.

Pengerusinya Senator Datuk Razali Idris berkata, dua kaedah penghantaran kit makanan dilakukan iaitu secara terus ke kediaman mangsa dan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

Katanya, proses penghantaran kit makanan kepada semua penduduk yang terjejas banjir kini giat dilakukan oleh anggota skuad Ketengah Ambik Cakne.

"Kita tidak membuat ketetapan peruntukan, sebaliknya semua penduduk terjejas dengan bencana banjir termasuk yang tidak berpindah ke PPS akan diberi bantuan kit makanan.

"Tiga fasa dilakukan Ketengah sebagai persiapan menghadapi banjir terutama membabitkan penduduk di kawasan wilayahnya," katanya kepada media selepas merasmikan penyampaian sumbangan kecemerlangan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) di Pusat Komuniti Desa Bandar Al Muktiffi Billah Shah (AMBS), di sini, hari ini.

Pada majlis itu, seramai 106 pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang pada peperiksaan SPM dan STPM 2020 daripada daerah Dungun, Kemaman dan Hulu Terengganu menerima sumbangan bagi meringankan bebanan keluarga berjumlah keseluruhan berjumlah RM83,400.

Yang turut hadir adalah Pengurus Besar KETENGAH, Tengku Ahmad Nadzri Tengku Musa dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Ketengah Holding Sdn Bhd (KHSB), Mohd Zaid Sulaiman.

Mengulas lanjut, Razali berkata, fasa pertama dilakukan Ketengah sebagai persiapan menghadapi bencana banjir adalah melakukan kerja pembersihan parit dan longkang bagi menyelesaikan masalah air bertakung.

RAZALI ketika sidang media. FOTO Baharom Bakar
RAZALI ketika sidang media. FOTO Baharom Bakar

Katanya, fasa kedua adalah mengagihkan kit makanan kepada semua penduduk yang terkesan dengan banjir manakala kerja membaikpulih dan pembersihan kediaman yang musnah ditenggelami banjir.

"Kita sudah mengagihkan kit makanan kepada 200 mangsa banjir bernilai RM20,000 kepada mangsa banjir yang ditempatkan di PPS Kampung Raja dan Kampung Syukur, di Hulu Dungun malam tadi," katanya.

Dalam perkembangan lain, Razali menjelaskan, Ketengah menyediakan keperluan kepada 998 mangsa pasca banjir gelombang pertama yang terkesan dengan Covid-19, berjumlah RM1 juta.

Katanya, peruntukan itu digunakan untuk menyediakan kit makanan, bantuan pembaikan kediaman, bantuan input pertanian serta bantuan usahawan industri kecil dan sederhana (IKS).

"Kita juga sudah menggerakkan seramai 37 sukarelawan terdiri daripada pegawai dan kakitangan Ketengah bersama peralatan logistik lengkap seperti kenderaan untuk kerja membantu mangsa banjir," katanya.

RAZALI (kanan) menyerahkan sumbangan kecemerlangan SPM dan STPM kepada pelajar. FOTO Baharom Bakar
RAZALI (kanan) menyerahkan sumbangan kecemerlangan SPM dan STPM kepada pelajar. FOTO Baharom Bakar

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Disember 2021 @ 1:41 PM