GAMBAR hiasan. FOTO BERNAMA
GAMBAR hiasan. FOTO BERNAMA
Raja Noraina Raja Rahim
rnoraina@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Tiga kawasan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) masing-masing di Pahang dan Sabah, bermula Isnin ini sehingga 30 Mei ini.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kawasan terbabit adalah Kampung Paya Teh, Jerantut dan Seri Kemunting, Kuantan di Pahang dan Kampung Sungai Langgas, Kunak, Sabah.

"Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan berlaku peningkatan kes dalam tempoh seminggu dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi di kawasan berkenaan.

"Setakat ini, 35 individu disahkan positif Covid-19 di Kampung Paya Teh manakala 16 individu positif di Seri Kemunting," katanya dalam kenyataan hari ini.

Ismail Sabri berkata, sebanyak 17 kes positif pula dikesan di Kampung Sungai Langgas hasil daripada ujian saringan dilakukan oleh KKM ke atas 34 individu di lokaliti berkenaan.

Justeru, katanya, pelaksanaan PKPD itu dapat memudahkan KKM menjalankan pengesanan awal kes Covid-19 dan menyekat penularan jangkitan ke kawasan luar.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan PKPD di dua rumah panjang iaitu Rumah Panjang Jali Anak Empaling dan Lanyau Anak Tuli, Bukit Dinding-Bergerik, Mukah, Sarawak yang dijadualkan tamat pada esok, dilanjutkan sehingga 23 Mei ini.

"Ini berikutan penularan masih berlaku di lokaliti itu dan kes baharu juga masih direkodkan. KKM sudah melakukan 150 ujian saringan di kedua-dua rumah panjang dan 81 disahkan positif," katanya.

Sementara itu, PKPD di Apartment Meranti, Midhill, Ramin dan Vista Residence di Bentong, Pahang; tiga rumah panjang masing-masing Rumah Panjang Luni, Manna dan Nelson Chuat serta lima rumah panjang iaitu Rumah Panjang Belayong, Muda, Tepi, Minggu dan Undom di Mukah, Sarawak ditamatkan.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Mei 2021 @ 7:13 PM