Foto hiasan
Foto hiasan
Amir Abd Hamid

Kuala Lumpur: Kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Sekolah Menengah Sains Banting, Kuala Langat bermula esok hingga 7 Mei ini.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melakukan 473 ujian saringan dan daripada jumlah itu didapati seramai 71 pelajar sekolah itu disahkan positif Covid-19.

"KKM juga mengesahkan masih berlaku penularan kes di lokaliti itu dengan kadar kebolehjangkitan adalah tinggi.

"Pelaksanaan PKPD untuk memudahkan KKM membuat pengesanan awal kes serta membendung penularan dalam kalangan pelajar dan kakitangan sekolah itu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media mengenai perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) hari ini.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Lahad Datu, Sabah yang sepatutnya ditamatkan esok, dilanjutkan hingga 8 Mei ini berikutan berlaku peningkatan kes yang mendadak di kawasan itu.

Menurutnya, PKPD di dua kawasan di Sarawak iaitu di Politeknik Mukah dan Rumah Panjang Jalan Bukut, Balingian di Mukah serta Kampung Muhibbah Raya, Tawau di Sabah turut dilanjutkan hingga 8 Mei.

Katanya, keputusan itu dilakukan selepas penilaian risiko dilakukan bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM.

"Di Politeknik Mukah, sebanyak 1,703 ujian saringan dilakukan dan daripada jumlah itu secara kumulatif sebanyak 241 kes positif Covid-19 dikesan, manakala di Rumah Panjang Jalan Bukut, Balingian, Mukah, 349 ujian saringan dilakukan dengan 96 kes positif dikesan.

"Di Kampung Muhibbah Raya pula, KKM melaksanakan 622 ujian saringan dan daripada jumlah itu secara kumulatif sebanyak 70 kes positif Covid-19 direkodkan," katanya.

Ismail Sabri turut mengumumkan PKPD di Kampung Bukit Belacon, Segama di Lahad Datu akan ditamatkan esok seperti dijadualkan apabila penurunan kes aktif di lokaliti terbabit dan klusternya terkawal.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 April 2021 @ 8:18 PM