GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Kerajaan melaksanakan empat Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) masing-masing satu di Negeri Sembilan dan Sarawak serta dua di Sabah berkuat kuasa 31 Mei sehingga 13 Jun depan.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, di Negeri Sembilan, tiga kawasan perumahan di mukim Juasseh, Kuala Pilah dilaksanakan PKPD berikutan peningkatan kes Covid-19 dalam tempoh singkat.

"Ketiga-tiga kawasan perumahan berkenaan ialah Taman Desa Permai, Rumah Rakyat Juasseh dan Taman Sri Juasseh.

"Sehingga kini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan sebanyak 51 kes positif Covid-19 direkodkan iaitu 21 kes di Taman Desa Permai," katanya dalam kenyataan harian hari ini.

Ismail Sabri berkata, bagi membendung wabak daripada menular dengan pantas, PKPD di tiga rumah panjang di Ulu Sungai Sebakong, Mukah, Sarawak juga dilaksanakan.

"Tiga rumah panjang itu ialah Rumah Panjang Rimong anak Kilat, Rumah Panjang Asin anak Aji dan Rumah Panjang Bija anak Unggang.

"Berlaku peningkatan kes iaitu sebanyak 35 kes positif direkodkan hasil daripada 93 ujian saringan dilakukan KKM.

"Selepas membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD di tiga rumah panjang ini," katanya.

Katanya, kerajaan juga bersetuju melaksanakan PKPD di Felda Sahabat 40 (Kampung Kembara Sakti), mukim Tungku, Lahad Datu, Sabah selepas 10 kes direkodkan oleh KKM ke atas 28 penduduk di lokaliti itu.

"Pelaksanaan PKPD ini bertujuan menyekat pergerakan dan penularan jangkitan Covid-19 dari kawasan berisiko ke luar lokaliti itu.

"Selain itu, PKPD di Kampung Padawan, Papar, Sabah juga dilaksanakan selepas 238 ujian saringan dan sembilan daripadanya didapati positif Covid-19," katanya.

Katanya, KKM mengesahkan berlaku peningkatan ketara kes dalam tempoh seminggu dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi di lokaliti itu.

Selain itu, Ismail Sabri berkata, kerajaan bersetuju menamatkan dua PKPD di Seri Kemunting, Kuantan, Pahang dan Kampung Paya Teh, Jerantut, Pahang pada hari ini manakala PKPD Kampung Sungai Langgas, Kunak, Sabah dilanjutkan bermula 31 Mei sehingga 13 Jun.

Sementara itu, katanya menerusi Ops Pematuhan, seramai 617 individu ditahan atas kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP), semalam.

"Daripada jumlah itu, seramai 579 individu dikompaun manakala 38 lagi direman membabitkan pelbagai kesalahan.

"Antara kesalahan direkodkan tidak memakai pelitup muka (118), rentas negeri, daerah tanpa kebenaran serta makan di premis (112), tiada penjarakan fizikal (111), gagal merekod butiran diri atau daftar masuk premis (77), tidak patuh arahan kawalan pergerakan (66) dan aktiviti pusat hiburan (11)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Mei 2021 @ 7:21 PM