ANGGOTA tentera memasang kawat duri di kawasan dikenakan PKPD. FOTO Asyraf Hamzah.
ANGGOTA tentera memasang kawat duri di kawasan dikenakan PKPD. FOTO Asyraf Hamzah.
Mohd Redzuan Muharam dan Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Selain Selangor dan Kuala Lumpur, 11 lokaliti di Sabah, Perak, Pahang dan Melaka turut dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) mulai Sabtu ini hingga 16 Julai.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, lokaliti itu adalah Kilang Lattex Manufacturing Sdn Bhd di Taiping, Perak dan asrama pekerjanya, selepas 237 individu disahkan positif Covid-19.

"Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini, turut melaporkan situasi semasa kes Covid-19 di asrama pekerja Kilang Latexx Village 3, Jalan Ika, Industri Kamunting Aman, Kamunting, Perak yang mencatatkan peningkatan kes sebanyak 213 kes hasil 561 saringan dilakukan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, di Pahang, Mukim Kuala Kuantan 1 dikenakan perintah itu, manakala Melaka membabitkan lokaliti Taman Mewah, Kelemak di Alor Gajah.

"Selain itu, dua lokaliti di Tawau, Sabah iaitu Kampung Mangga, Nasib Kita dan Kampung Kijang, Balung turut dikenakan PKPD apabila masing-masing merekodkan sembilan serta 15 kes positif direkodkan hasil ujian saringan dilakukan di lokaliti terbabit.

"Kerajaan juga bersetuju melaksanakan PKPD di beberapa lagi lokaliti di Sabah membabitkan Taman Jaya Diri, Kota Kinabalu; Kampung Lingkodon, Kota Belud; Kampung Pintas Kubu, Beafourt; Kampung Muhibbah, Putatan dan Kampung Goshen, Kota Marudu ekoran peningkatan kes positif Covid-19 di kawasan berkenaan.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, PKPD di beberapa lokaliti termasuk sembilan Rumah Panjang di Sungai Rassau, Batang Igan dan Mukah, Sarawak yang dijadualkan tamat, esok akan dilanjutkan dua minggu lagi bermula Sabtu.

"Begitu juga PKPD di asrama pekerja warga asing dan kawasan Kilang Wah Cens Plastic Industries & Metal Sdn Bhd Kasap, Segamat Johor kerana KKM mengesan masih terdapat penularan wabak di kawasan berkenaan.

Dalam pada itu, katanya, kerajaan bersetuju menamatkan PKPD di Taman Sri Purnama, Mukim Padang Pak Amat, Pasir Puteh di Kelantan, esok selepas menunjukkan penurunan kes.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Julai 2021 @ 7:13 PM