PKPD. FOTO Bernama
PKPD. FOTO Bernama
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Empat kawasan di Sabah dan dua lagi di Sarawak dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selepas merekodkan peningkatan kes penularan jangkitan Covid-19.

Di Sabah, kawasan terbabit adalah Taman Nikmat, Kampung Pirasan, Kampung Dundau di Kota Belud serta Kampung Simpangan di Tuaran, manakala di Sarawak membabitkan Kampung Bunut dan Rumah Panjang Undum Anak Anchih di Sungai Daun.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, PKPD di semua kawasan itu akan bermula 3 Jun sehingga 16 Jun ini.

"Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan berlaku penularan jangkitan dalam komuniti tempatan dengan 29 kes positif Covid-19 direkodkan hasil saringan ke atas 166 penduduk di Kampung Bunut.

"Manakala, 12 kes positif hasil 56 saringan di Rumah Panjang Anak Anchih," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, sebanyak tujuh kes positif direkodkan di Kampung Pirasan dan masing-masing lapan kes di Taman Nikmat, Kampung Dundau serta Kampung Simpangan.

Justeru, katanya, pelaksanaan PKPD itu akan memudahkan KKM melaksanakan saringan dan mengekang penularan Covid-19 ke kawasan lain.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, PKPD Rumah Panjang Wun Anak Ering, Tanjung Manis di Mukah, Sarawak yang dijadualkan tamat pada esok, akan dilanjutkan sehingga 16 Jun ini.

"Ini berikutan berlaku penularan dan kes baharu masih direkodkan dalam kalangan kalangan penghuni di kawasan berkenaan.

"Bagaimanapun, terdapat penurunan baki kes aktif yang membabitkan SK Bakerkong dan kluster adalah terkawal," katanya.

Bagi PKPD Lorong 2 Kampung Kongsi 8 di Tawau, Sabah pula, beliau berkata, ia akan ditamatkan esok iaitu lebih awal daripada dijadualkan pada 12 Jun ini.

Menurutnya, KKM mengesahkan berlaku penurunan kes dan kluster adalah terkawal manakala semua kes positif sudah menerima rawatan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Jun 2021 @ 7:05 PM