GAMBAR hiasan. FOTO BERNAMA
GAMBAR hiasan. FOTO BERNAMA
Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Lumpur: Dua lokaliti di Kelantan dan Sabah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selama 14 hari bermula Rabu ini.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Kampung Bagus, Rantau Panjang, Pasir Mas, Kelantan merekodkan 23 kes positif Covid-19.

Menuruntya, sehingga kini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melakukan 47 ujian saringan dalam kalangan penduduk.

"Pada masa sama, KKM mendapati kes juga meningkat dalam tempoh singkat dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi di lokaliti itu," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Ismail Sabri berkata, Kampung Baru Batu 2, Jalan Apas, Tawau di Sabah juga dikenakan PKPD selepas sembilan penduduk disahkan positif.

Katanya, KKM sudah menjalankan 14 saringan dalam kalangan penduduk dan ia akan diteruskan bagi mengesan kes positif lain di lokaliti berkenaan.

Dalam pada itu, PKPD di Penjara Sungai Udang kecuali Kuarters Penjara, Melaka Tengah, di Melaka dan di Kampung Ejuk, Kota Belud, di Sabah dilanjutkan.

Ismail Sabri berkata, turut dilanjutkan PKPD di Kampung Warisan, Kota Kinabalu, di Sabah bermula Rabu ini hingga 20 Julai depan.

Beliau berkata, bagi pelanjutan PKPD di Kuarters Pekerja Balingian Power Generation, Jalan Sibu-Mukah pula selama seminggu bermula Rabu hingga 13 Julai depan.

"KKM mendapati penularan masih berlaku dalam komuniti serta terdapat kes baharu di rekodkan di lokaliti berkenaan," katanya.

Dalam pada itu, lokaliti ditamatkan PKPD hari ini iaitu Kilang Sawit Cahaya Muda, Batang Padang, di Perak; Blok 11, Kampung Titingan, dan Batu 7 Jalan Tinagat masing-masing di Tawau, Sabah dan Rumah Panjang Alat anak Mukan, Kuarters Pekerja Mukah Palm Oil Mill serta sembilan Rumah Panjang Sungai Rassau, Batang Igan di Mukah, Sarawak.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Julai 2021 @ 7:41 PM