GAMBAR hiasan. FOTO BERNAMA
GAMBAR hiasan. FOTO BERNAMA
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Beberapa lagi kawasan di Johor, Sarawak dan Sabah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula 16 hingga 29 Jun ini susulan kadar kebolehjangkitan Covid-19 tinggi di kawasan itu.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini melaporkan situasi semasa kes Covid-19 membabitkan asrama pekerja warga asing, Jalan Rivera, Tanjung Agas, Tangkak, Johor.

Menurutnya, secara kumulatifnya, seramai 128 individu disahkan positif Covid-19 selepas KKM menjalankan ujian saringan ke atas 237 penghuni.

"Selepas membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD di situ.

"KKM hari ini turut melaporkan situasi semasa kes Covid-19 di dua lokaliti di Bukit Dinding, Mukah, Sarawak membabitkan Rumah Panjang Alat anak Mukan dan Mukah Palm Oil Mill," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ismail Sabri berkata, sehingga kini, sebanyak 31 kes positif dilaporkan hasil daripada 70 ujian saringan di Rumah Panjang Alat anak Mukan manakala di Mukah Palm Oil Mill, 14 individu disaring, 10 daripadanya positifCovid-19.

"Sehubungan itu, kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD di dua lokaliti itu. Kerajaan turut melaksanakan PKPD di Kampung Sundang Laut, Sandakan, Sabah selepas merekodkan 10 kes positif daripada 18 saringan dijalankan," katanya.

Beliau berkata, PKPD turut dikenakan di dua lokaliti di Penampang, Sabah membabitkan Country Heights Apartment dan Vista Minintod Apartment.

"KKM mengesahkan terdapat peningkatan ketara kes dalam tempoh dua ini minggu apabila sebanyak 18 kes positif direkodkan daripada 25 individu disaring di Country Heights Apartment dan 14 kes positif di Vista Minintod Apartment hasil saringan ke atas 21 orang," katanya.

Katanya, satu lagi kawasan dikenakan PKPD adalah Kampung Skim Cocos, Kunak, Sabah selepas terdapat peningkatan kes Covid-19 yang ketara dalam tempoh seminggu di lokaliti itu di mana 10 kes positif direkodkan dari 24 ujian saringan yang dijalankan dengan kadar positiviti sebanyak 42 peratus.

"Sementara itu, PKPD 11 Rumah Panjang dan SK Stalon, Tanjung Manis, Mukah, Sarawak dab Felda Trolak Utara, Sungkai, Perak dilanjutkan dua minggu lagi bermula 16 Jun ini," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Ismail Sabri berkata, kerajaan bersetuju menamatkan PKPD di 28 Mukim Kota Setar, Kedah Kampung Pagi, Ulu Tembeling dan Jerantut, Pahang, Bandar Bentong, Pahang.

Tambahnya, kawasan lain ditamatkan PKPD lagi adalah Rumah Panjang Wun anak Ering, Tanjung Manis, Mukah, Sarawak dan Kampung Bunut, Mukah, Sarawak pada 11.59 malam esok.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Jun 2021 @ 6:50 PM