GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
BERNAMA

Melaka: Sebanyak 2,562 kes demam denggi dengan lapan kematian direkodkan di negeri ini dalam tempoh 1 Januari hingga 10 November lalu, kata Exco Kesihatan dan Antidadah negeri Datuk Rahmad Mariman.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, 1,733 kes direkodkan di Melaka Tengah; 450 kes (Jasin) dan 379 (Alor Gajah), manakala sebanyak 15 lokaliti titik panas wabak denggi dikenal pasti di sekitar negeri ini pada tahun ini.

"Pelbagai usaha dilaksanakan bagi mengekang penularan wabak demam denggi seperti semburan kabut atau 'fogging', program gotong-royong, kempen kesedaran dan pemusnahan tempat pembiakan nyamuk aedes namun kes dilihat terus mencatatkan peningkatan," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, dalam tempoh itu, Jabatan Kesihatan Negeri Melaka sudah melaksanakan aktiviti pemusnahan tempat pembiakan di 125,819 premis di sekitar negeri ini dan 7,123 daripadanya adalah lokasi pembiakan positif larva nyamuk aedes.

Katanya, aktiviti Semburan Ruang Thermal (SRT) juga dilakukan di lokasi kes dan kawasan berisiko tinggi iaitu sebanyak 3,584 kali semburan dalam tempoh 1 Januari hingga 2 November lalu.

Rahmad berkata, sebanyak 1,277 bentuk aktiviti pendidikan kesihatan berkaitan demam denggi merangkumi ceramah, gotong-royong, hebahan dan pameran dijalankan dalam tempoh berkenaan.

"Kempen Satu Jam Setiap Sabtu juga dilancarkan pada 24 Oktober lalu bertujuan mencari dan memusnahkan tempat pembiakan nyamuk aedes khususnya di kawasan rumah masing-masing.

"Kes demam denggi lebih membabitkan aspek kebersihan dan saya merayu masyarakat untuk terus memastikan kawasan rumah mereka sentiasa dibersihkan dan tiada tempat pembiakan nyamuk aedes," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 November 2020 @ 6:28 PM