AKSI beregu lelaki negara, Aaron Chia (kanan) dan Soh Wooi Yik (kiri) ketika menentang Law Cheuk Him dan Yeung Shing Choi dari Hong Kong dalam saingan Kumpulan D Kejohanan Badminton Piala Thomas 2024 di Pusat Sukan Chengdu High-Tech Zon hari ini. FOTO BERNAMA
AKSI beregu lelaki negara, Aaron Chia (kanan) dan Soh Wooi Yik (kiri) ketika menentang Law Cheuk Him dan Yeung Shing Choi dari Hong Kong dalam saingan Kumpulan D Kejohanan Badminton Piala Thomas 2024 di Pusat Sukan Chengdu High-Tech Zon hari ini. FOTO BERNAMA
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Skuad badminton Piala Thomas negara kini boleh menarik nafas lega apabila mengesahkan kemenangan 5-0 ke atas Hong Kong dalam aksi pertama kumpulan D.

Turun beraksi di Gimnasium Pusat Sukan Zon Hi-Tech Chengdu, China, Lee Zii Jia memberi mata pertama buat kem badminton negara apabila menewaskan Lee Cheuk Yiu 21-18, 21-18 dalam aksi yang berlangsung 45 minit.

Pemain perseorangan lelaki itu mengakui sedikit tekanan kerana menyedari mata pertama penting buat skuad negara yang akan menyuntik semangat untuk melakarkan kemenangan ke atas Hong Kong.

"Saya gembira kerana dapat beri mata pertama untuk pasukan Malaysia.

"Secara jujurnya, saya rasa sangat tekanan juga kerana mata pertama itu penting untuk pasukan dan saya gembira akhirnya saya dapat beri mata itu," kata Zii Jia.

Katanya, tiada strategi istimewa yang kerana dia sudah banyak kali berdepan Cheuk Yiu sebelum ini dan kemenangan ke atas lawan itu menyaksikan Zii Jia mencatatkan dua kemenangan dari empat pertemuan mereka sebelum ini.

Sementara itu beregu nombor satu negara yang juga bekas juara dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik tidak berdepan masalah menewaskan pasangan di ranking ke-170, Law Cheuk Him-Yeung Shing Choi, 21-16, 21-12.

Aaron-Wooi Yik yang kini menghuni ranking kelima dunia hanya memerlukan 21 minit untuk menyumbangkan mata kedua negara.

"Saya rasa masih ada kekurangan yang boleh diperbaiki tapi secara keseluruhan saya OK dengan perlawanan hari ini. Mungkin sebab kita mempunyai kelebihan berbanding lawan namun kita kena fokus dalam setiap perlawanan akan datang," kata Aaron.

Malaysia mengesahkan kemenangan ke atas Hong Kong apabila perseorangan kedua negara Leong Jun Hao menyumbangkan mata ketiga.

Bertemu buat kali pertama Jun Hao bagaimanapun terpaksa bekerja keras sebelum menundukkan Ng Ka Ling 17-21, 21-12, 21-15 dalam masa 61 minit.

Kemenangan ke atas Hong Kong itu sudah pasti memberi motivasi buat pasukan untuk membuka peluang melangkah lebih jauh dalam kejohanan kali ini sekali gus memperoleh pencapaian lebih baik berbanding terkandas di suku akhir pada edisi 2022 di Thailand.

Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani turun selaku beregu kedua meraih kemenangan ke atas Lee Chun Hei-Tang Chun Man 21-19, 21-18 untuk menyumbang mata keempat negara.

Manakala Justin Hoh melengkapkan kemengan pasukan negara dalam aksi kumpulan D sebagai perseorangan ketiga menewaskan Chan Yin Chak 21-17, 19-21, 21-17.

Malaysia selepas ini akan berdepan Algeria untuk perlawanan kedua peringkat kumpulan esok sebelum turun berdepan juara 2016, Denmark, Selasa ini.

Kemenangan ke atas Algeria sudah cukup untuk membawa skuad negara mara ke peringkat kalah mati.

Pada edisi terakhir di Bangkok, Thailand dua tahun lalu, skuad Piala Thomas tersingkir di suku akhir di tangan juara sebenar, India 2-3.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 April 2024 @ 2:13 PM