Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin. FOTO GHAZALI KORI
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin. FOTO GHAZALI KORI
Nazdy Harun

Kuala Berang: Umno melihat peluang calon Pakatan Harapan (PH) untuk menang dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu dilihat seimbang.

Naib Presiden Umno Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, terlalu awal untuk semua pihak membuat rumusan mengenai peluang kemenangan bagi calon yang bertanding.

Menurutnya, semua parti komponen di dalam PH, dalam keadaan siap sedia untuk memenangkan calon yang mewakili kerajaan perpaduan.

Katanya, pihaknya (parti komponen) akan berusaha yang terbaik dalam menghadapi PRK berkenaan dan sudah semestinya ingin melihat kemenangan berpihak kepada parti yang mewakili kerajaan Persekutuan.

"Saya melihat peluang 50-50 iaitu seimbang bagi calon bertanding," katanya ketika ditemui di majlis Tautan Kasih Aidilfitri Umno Bahagian Hulu Terengganu di pekarangan Pejabat Penyelaras DUN Telemong, Hulu Terengganu di sini, hari ini.

PRK Kuala Kubu Baharu menyaksikan pertembungan empat penjuru antara calon Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN), Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan calon Bebas.

PH menamakan Pang Sock Tao yang juga Setiausaha Akhbar kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming sebagai calon Kerajaan Perpaduan.

Bersatu mempertaruhkan pemangku Ketua Bahagian Bersatu Hulu Selangor Khairul Azhari Saut untuk mewakili PN.

PRK Kuala Kubu Baharu diadakan susulan kematian penyandang daripada DAP Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lalu akibat kanser dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK itu pada 11 Mei nanti, manakala pengundian awal pada 7 Mei.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 April 2024 @ 2:18 PM