ZII JIA (kanan) berjaya menewaskan pemain Hong Kong, Lee Cheuk Yiu dalam saingan Kumpulan D Kejohanan Piala Thomas 2024 di Pusat Sukan Chengdu High-tech Zone hari ini. FOTO BERNAMA
ZII JIA (kanan) berjaya menewaskan pemain Hong Kong, Lee Cheuk Yiu dalam saingan Kumpulan D Kejohanan Piala Thomas 2024 di Pusat Sukan Chengdu High-tech Zone hari ini. FOTO BERNAMA
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia mengakui tiada strategi khas yang digunakan olehnya selepas berjaya menyumbangkan mata pertama buat negara dalam aksi pembukaan kumpulan D menentang Hong Kong.

Malah pemain di ranking ke-10 dunia itu juga mengakui agak tertekan sebelum menjelmakan mata berharga buat kem badminton negara.

"Memang tiada strategi khas. Sebab lihat coach (jurulatih) Wong Choong Hann di sana (jurulatih Hong Kong) coach (jurulatih) Wong Tat Meng (jurulatih Zii Jia) di sini.

"Jadi tiada apa yang istimewa, saya hanya beri yang terbaik dan percaya pada diri sendiri tambahan pula sudah banyak kali saya berjumpa dengan dia (Lee Cheuk Yiu)," katanya.

Pada Julai tahun lalu, Tat Meng meletakkan jawatan selaku jurulatih pasukan badminton Hong Kong apabila memilih untuk menjadi jurulatih Zii Jia selepas dia 'berpisah' dengan jurulatih dari Indonesia, Indra Wijaya pada November 2022.

Manakala bekas Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Choong Hann pula dilantik menjadi ketua jurulatih perseorangan Hong Kong selepas itu.

Terdahulu Zii Jia menyumbangkan mata pertama selepas menewaskan pemain di ranking ke-15 dunia Cheuk Yiu straight set 21-18, 21-18 dalam tempoh 45 minit.

Kemenangan itu sekali gus menjadikan rekod kemenangan dalam empat pertemuan antara mereka kini seimbang kepada 2-2.

Juara Seluruh England 2021 itu berharap dapat mengekalkan rentak kemenangan terutama apabila turun berdepan Denmark Selasa ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 April 2024 @ 2:04 PM