MOHD Khuzzan  membuang air bertakung di rumah penduduk ketika OPPI Negeri Johor di Taman Damai Jaya Makmur, Skudai, semalam.
MOHD Khuzzan membuang air bertakung di rumah penduduk ketika OPPI Negeri Johor di Taman Damai Jaya Makmur, Skudai, semalam.
Izlaily Nurul Ain Hussein


JOHOR BAHRU: Seolah-olah tiada kesedaran dalam kalangan masyarakat apabila kes demam denggi meningkat 100 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu di negeri ini.

Malah sejak Januari lalu, seramai 19 mangsa dilaporkan meninggal dunia akibat demam denggi.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan Johor, Mohd Khuzzan Abu Bakar berkata, situasi demam denggi di Johor tahun ini amat membimbangkan berikutan sehingga 31 Ogos lalu sebanyak 7,761 kes dilaporkan sekali gus mencatatkan peningkatan 101.2 peratus kes berbanding tempoh sama tahun lalu iaitu 3,857 kes.

“Kes kematian akibat denggi meningkat iaitu sebanyak 19 kes dengan tertinggi lapan kes di Johor Bahru, diikuti Batu Pahat dan Kluang dan kes ke-19 di Tangkak.

“Kurang mendapat kerjasama penduduk setiap kali pemeriksaan pembiakan nyamuk aedes dilakukan Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) menjadi antara faktor penyumbang meningkatnya jumlah kes demam denggi di negeri ini,” katanya.

Menurutnya, Johor Bahru, Taman Damai Jaya Makmur dan Skudai di sini, antara lokasi wabak denggi yang aktif, namun kesedaran dan kerjasama diberikan penduduk amat rendah.

“Kita memang menghadapi masalah kerana kurang mendapat kerjasama untuk membenarkan rumah mereka dimasuki bagi proses kawalan terutama rumah individu.

“Sebelum ini di Taman Sri Lambak, Kluang... apabila kita buat gotong-royong, hanya ada pihak berkuasa tempatan (PBT) hadir manakala penduduk tidak keluar.

“Jadi hari ini (semalam), kita mahu beri kesedaran pada masyarakat supaya mereka faham mengapa kita perlu jalankan usaha-usaha (pemeriksaan dan kawalan) ini,” katanya pada pelancaran Operasi Penguatkuasaan Premis Individu (OPPI) di Kawasan Wabak Denggi di Taman Damai Jaya Makmur di sini, semalam.

Hadir sama, Timbalan Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), JKNJ, Dr Shaharom Nor Azian Che Mat Din.

Mohd Khuzzan berkata, faktor lain yang menyumbang kepada kes denggi masih tinggi adalah pembuangan sampah tidak teratur.

“Orang ramai sudah dimaklumkan untuk membersihkan kawasan masing-masing daripada bekas pembiakan aedes, namun masih ada tempat pembiakan ditemui setiap kali siasatan kes denggi dijalankan,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, OPPI adalah aktiviti mengikut Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1965 yang dijalankan secara berkala oleh JKNJ bagi membendung penularan demam denggi di Johor.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 September 2019 @ 5:50 AM