TONGGAK baharu Terengganu FC, Akhyar Rashid (tengah) dan Safawi Rasid (kanan) kekal menjadi penonton menentang JDT pada musim ini. FOTO GHAZALI KORI
TONGGAK baharu Terengganu FC, Akhyar Rashid (tengah) dan Safawi Rasid (kanan) kekal menjadi penonton menentang JDT pada musim ini. FOTO GHAZALI KORI
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Tonggak baharu Terengganu FC (TFC), Safawi Rasid dan Akhyar Rashid kekal tidak dapat beraksi menentang bekas pasukannya Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim 2024/2025.

Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd, Mohd Sabri Abas berkata, pemain berstatus pinjaman daripada JDT itu kekal menjadi penonton apabila pasukannya berdepan skuad Harimau Selatan.

Katanya, perkara itu telah dipersetujui kedua-dua pasukan sebelum pemain dua pemain Harimau Malaya itu menandatangani kontrak bersama skuad Penyu pada musim ini.

Bagaimanapun Sabri berkata, seorang lagi pemain berstatus pinjaman daripada JDT, Muhammad Azam Azmi Murad dapat beraksi menentang pasukannya itu pada musim ini.

"Ya betul, dua pemain itu iaitu Pawi dan Akhyar masih tidak boleh beraksi menentang bekas pasukannya itu (JDT) pada musim ini kerana kita sudah ada perjanjian yang perlu dipatuhi.

"Namun pertahanan kanan, Azam Azmi yang juga pemain berstatus pinjaman daripada JDT boleh beraksi menentang pasukan Harimau Selatan itu.

"Walaupun kita tidak dapat menggunakan khidmat mereka (Pawi dan Akhyar), tapi pasukan mempunyai ramai pemain yang mampu beraksi di posisi berkenaan

seperti Syafiq Ismail, Nor Hakim Hassan dan Nik Muhammad Sharif Haseefy Mohd Lazim," katanya ketika ditemui.

Sebelum ini peminat setia skuad Penyu hangat memperkatakan mengenai kedudukan pemain itu yang dikatakan dibenarkan beraksi menentang bekas pasukannya itu pada musim ini.

"Dengan penjelasan itu diharapkan peminat setia dapat menerimanya dengan hati yang terbuka," ujar Mohd Sabri.

Berdasarkan jadual terkini, skuad Penyu kendalian Tomislav Steinbruckner bakal memulakan perlawanan menentang Perak FC pada 11 Mei depan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak dan diikuti bertemu Penang FC pada perlawanan kedua 19 Mei.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 April 2024 @ 1:48 PM