PENDUDUK,  agensi kerajaan dan swasta membersihkan kawasan Taman Paya Rumput Indah, semalam.
PENDUDUK, agensi kerajaan dan swasta membersihkan kawasan Taman Paya Rumput Indah, semalam.
Nazri Abu Bakar


PENDUDUK Taman Paya Rumput Indah, di sini, ‘menggempur’ kawasan pembiakan nyamuk Aedes menerusi program gotong-royong di kawasan perumahan itu, semalam. Usaha itu dibuat susulan 12 penghuni taman perumahan itu dilaporkan menghidap demam denggi sekali gus mengancam keselamatan ratusan penduduk lain.

Setiausaha Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Paya Rumput Indah, Norsaiful Irwan Shah berkata, kes demam denggi yang menimpa 12 penduduk taman itu dalam tempoh sebulan itu cukup membimbangkan.

Justeru, katanya, pihaknya mengambil inisiatif mengadakan program gotong-royong membersihkan kawasan perumahan itu.

Katanya, kerjasama daripada seluruh penduduk termasuk agensi kerajaan dan swasta juga memberi impak terhadap usaha pembersihan berkenaan.

“Antara yang terbabit termasuk Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) dan Pejabat Kesihatan Daerah Melaka Tengah yang bekerjasama bagi membanteras kawasan pembiakan nyamuk Aedes.

“Kami amat menghargai usaha Jabatan Kesihatan yang kerap mengadakan semburan serta ubat khusus bagi membanteras nyamuk Aedes di kawasan air bertakung,” katanya.

Dalam pada itu, Jabatan Kesihatan negeri turut mengedarkan risalah dan menampal poster bahaya denggi di kawasan berkenaan selain rondaan dan pemeriksaan di rumah penduduk.

Seorang penduduk dijangkiti demam denggi, Malik Faizal Hassan ,46 berkata, serangan denggi amat menakutkan.

“Selain hilang selera makan, sendi dan saraf juga menjadi lemah. Badan pula menggigil serta mengalami demam panas.

“Pengalaman ditahan selama enam hari di dalam wad berbanding beberapa jiran yang ditahan lebih 10 hari mendorong saya bersama penduduk lain untuk memerangi tempat pembiakan nyamuk Aedes,” katanya.

Malik berkata, walaupun umumnya kawasan rumahnya bersih namun sikap terlepas pandang terutama di kawasan longkang terbiar berhampiran serta semak menjadi antara kawasan pembiakan nyamuk Aedes.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 September 2019 @ 6:00 AM