MOHD Lutpiyudin (kiri) mengiringi Yang Dipertua Majlis Perbandaran Langkawi Bandaraya Pelancongan, Abdul Bari Abdullah (tengah) membuat pemeriksaan kesihatan. FOTO Hamzah Osman
MOHD Lutpiyudin (kiri) mengiringi Yang Dipertua Majlis Perbandaran Langkawi Bandaraya Pelancongan, Abdul Bari Abdullah (tengah) membuat pemeriksaan kesihatan. FOTO Hamzah Osman
Hamzah Osman


Langkawi: Kes demam denggi di pulau ini meningkat lebih empat kali ganda kepada 35 kes bagi Januari hingga awal bulan ini berbanding lapan kes untuk tempoh sama tahun lalu.

Bagaimanapun, Pegawai Kesihatan Daerah Langkawi, Dr Mohd Lutpiyudin Azidin menegaskan tiada kematian direkodkan dalam tempoh itu berbanding satu kematian membabitkan warga asing tahun lalu.

Justeru, katanya usaha menangani masalah demam denggi ini adalah tanggungjawab bersama dan semua pihak harus berkerjasama menghentikan pembiakan nyamuk aedes di kawasan kediaman masing-masing.

"Berdasarkan kajian dan pemantauan semasa, tiga penempatan penduduk di daerah ini iaitu Kampung Bukit Malut, Taman Nilam dan Taman Dahlia adalah kawasan paling berisiko kes denggi.

"Sehingga kini kaedah terbaik membasmi tempat pembiakan nyamuk aedes adalah aktiviti gotong-royong secara berkala oleh penduduk setempat, selain program pemusnahan tempat pembiakan (PTP) aedes oleh kakitangan Pejabat Kesihatan Daerah," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Terdahulu, Mohd Lutpiyudin menyampaikan ceramah 'Tiada Aedes, Tiada Denggi, Tiada Zika' sempena Gotong Royong & Town Hall anjuran Majlis Perbandaran Langkawi Bandaraya Pelancongan (MPLBP) di Taman Nilam di sini.

Hadir sama, Yang Dipertua MPLBP, Abdul Bari Abdullah dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Perancangan dan Pembangunan) Lembaga Pembangunan Langkawi, Ahmad Zaini Zaba'ai.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Oktober 2016 @ 3:37 PM