Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Hulu Selangor: Calon Perikatan Nasional (PN), Khairul Azhari Saut enggan mengulas dakwaan atau tanda tanya berkait latar pendidikannya.

Ia susulan poster yang tular mengatakan beliau yang mempunyai Diploma Eksekutif Pengurusan dari Universiti Malaya (UM) pada 2019, kemudian 'melangkau' dengan memperoleh Ijazah Sarjana Eksekutif Pengurusan Perniagaan, Universiti Malaysia Pahang (UMP), dua tahun kemudiannya.

Khairul Azhari, 54, yang juga Pemangku Ketua Bersatu Hulu Selangor berkata, buat masa ini tumpuan utamanya adalah menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu.

"Saya tak mahu komen tentang itu. Saya fokus untuk pilihan raya. Itu kemudian," katanya ketika ditemui pemberita selepas selesai sesi Penamaan Calon di Dewan Serbaguna dan Kompleks Sukan Daerah di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Pengerusi PN Selangor yang juga Pengarah Pilihan Raya Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, kelulusan yang diperoleh oleh Khairul Azhari bukan satu perkara yang dinafikan.

"Memang beliau (Khairul Azhari) mengikuti kursus-kursus yang berkenaan. Soal sama ada diiktiraf kementerian, itu bukan menjadi pertimbangan mana-mana pelajar atau mereka yang mengambil kursus tersebut.

"Khusus bagi mereka yang sudah ada pengalaman bekerja, biasanya dia akan mengambil satu tempoh dipanggil kos eksekutif dalam tempoh yang singkat untuk memberikan tumpuan dalam bidang-bidang tertentu.

"Beliau memang melalui kursus pengurusan bagi maksud meningkatkan kemahiran dan ilmu dalam bidang tersebut," katanya.

PRK Kuala Kubu Baharu yang akan berlangsung pada 11 Mei depan bakal menyaksikan pertandingan empat penjuru.

Khairul Azhari bakal ditentang oleh Pang Sock Tao (PH) serta dua lagi calon iaitu Hafizah Zainudin (PRM) dan Nyau Ke Xin (Bebas).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 April 2024 @ 1:40 PM
Calon PN, Khairul Azhari Saut pada hari penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu (KKB) di perkarangan di Dewan Serbaguna dan Kompleks Sukan Daerah Hulu Selangor. FOTO Saifullizan Tamadi
Calon PN, Khairul Azhari Saut pada hari penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu (KKB) di perkarangan di Dewan Serbaguna dan Kompleks Sukan Daerah Hulu Selangor. FOTO Saifullizan Tamadi