Bot bersama nelayan warga Vietnam ditahan kerana menjalankan aktiviti mencandat sotong di kawasan kurang 12 batu nautika perairan Tanjung Sekukuh, Pekan. FOTO MOHD RAFI MAMAT
Bot bersama nelayan warga Vietnam ditahan kerana menjalankan aktiviti mencandat sotong di kawasan kurang 12 batu nautika perairan Tanjung Sekukuh, Pekan. FOTO MOHD RAFI MAMAT
Mohd Rafi Mamat


CAWANGAN Perlindungan Sumber (CPS) Jabatan Perikanan Pahang menahan 37 bot bersama 140 nelayan asing yang melakukan kesalahan menangkap ikan dan sotong di kawasan kurang 12 batu nautika bagi tempoh lapan bulan pertama tahun ini.

Pengarah Jabatan Perikanan Pahang Abdullah Jaafar berkata, operasi itu dijalankan di kawasan perairan daerah ini, Pekan dan Rompin.

Menurutnya, bagi mengelak dikesan, nelayan warga Vietnam dan Myanmar itu menggunakan bot dengan nombor pendaftaran tempatan.

"Sepanjang 2019, CPS Jabatan Perikanan Pahang menahan 58 bot bersama 244 nelayan warga Vietnam dan Myanmar yang melakukan kesalahan sama.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 dan kami tidak akan berkompromi dengan pihak yang menyalahi undang-undang," katanya.

Menurut Abdullah, kes terbaru pula membabitkan penahanan dua bot bersama 16 nelayan warga Vietnam di perairan Tanjung Sekukuh, Pekan kelmarin.

Katanya, bot terbabit ditahan di kedudukan 6.4 dan 7.5 batu nautika Tanjung Sekukuh, pada jam 1.30 pagi.

"Dua tekong bersama 14 awak-awak warga Vietnam berumur 20 hingga 40 tahun ditahan ketika mencandat sotong.

"Pemeriksaan terhadap bot yang memiliki pendaftaran lesen di Tok Bali, Kelantan dan Mersing, Johor menemui kira-kira satu tan sotong berharga lebih RM3,000. Jabatan kemudiannya melelong hasil tangkapan itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Ogos 2020 @ 3:27 PM