DUA bot Zon C tempatan bersama 16 awak-awak warga Vietnam ditahan JPP dan merampas 80 alat mencandat sotong tanpa lesen di perairan Tanjung Sekukuh Pekan. FOTO MOHD RAFI MAMAT
DUA bot Zon C tempatan bersama 16 awak-awak warga Vietnam ditahan JPP dan merampas 80 alat mencandat sotong tanpa lesen di perairan Tanjung Sekukuh Pekan. FOTO MOHD RAFI MAMAT
Mohd Rafi Mamat


JABATAN Perikanan Pahang (JPP) menahan dua bot Zon C tempatan bersama 16 awak-awak warga Vietnam membawa 80 alat mencandat sotong tanpa lesen di perairan Tanjung Sekukuh, Pekan, Ahad lalu.

Pengarahnya, Datuk Azahari Othman berkata, rondaan pasukan Bahagian Perlindungan Sumber JPP di perairan Pekan terserempak dengan dua bot berkenaan kira-kira 21.5 batu nautika pada jam 9 pagi.

Katanya, pemeriksaan dijalankan mendapati bot itu berdaftar di Pekan, namun tidak memiliki lesen melakukan aktiviti menangkap atau mencandat sotong.

“Tindakan pantas bot ronda Bahagian Perlindungan Sumber JPP bersama 10 anggota berjaya menahan bot bersama nelayan terbabit ketika mereka dipercayai dalam perjalanan pulang ke jeti selepas aktiviti menangkap sotong.

“Pemeriksaan ke atas sebuah daripada bot itu membawa kepada penemuan hasil tangkapan sotong pelbagai saiz seberat 100 kilogram (kg) dipercayai untuk pasaran tempatan,” katanya dalam satu kenyataan media di Kuantan, hari ini.

Azahari berkata, siasatan mendapati semua awak-awak warga Vietnam berusia antara 23 hingga 49 tahun memiliki permit kerja dan perjalanan sah.

Katanya, semua peralatan bagi kegiatan menangkap sotong seperti candat, lampu dan joran buluh dibawa masuk daripada negara asal nelayan terbabit.

“Pemilik bot itu akan dikenakan kompaun mengikut Akta Perikanan 1985 yang jumlah kompaun akan ditentukan pihak mahkamah.

“Saya sudah mengarahkan Bahagian Perlindungan Sumber JPP supaya lebih kerap melakukan rondaan terutama di perairan Pekan yang sebelum ini menjadi tumpuan nelayan asing menangkap hasil laut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Julai 2019 @ 1:35 PM