Pegawai Penyiasat Bahagian Perlindungan Sumber Jabatan Perikanan Pahang Mohd Affendy Abdul Manap menunjukan alat mencandat sotong yang dirampas. Foto Mohd Rafi Mamat
Pegawai Penyiasat Bahagian Perlindungan Sumber Jabatan Perikanan Pahang Mohd Affendy Abdul Manap menunjukan alat mencandat sotong yang dirampas. Foto Mohd Rafi Mamat
Mohd Rafi Mamat


JABATAN Perikanan Pahang memberi amaran tindakan tegas akan dikenakan terhadap nelayan yang melakukan aktiviti menangkap sotong tanpa lesen di perairan negeri itu.

Pengarah Jabatan Perikanan Pahang Datuk Azahari Othman ,berkata nelayan tempatan yang melakukan aktiviti menangkap atau mencandat sotong perlu memiliki lesen dikeluarkan pihaknya.

Menurutnya, pihak yang tidak memiliki lesen akan dikenakan kompaun mengikut Akta Perikanan 1985 dan jumlah kompaun akan ditentukan pihak mahkamah.

“Jabatan Perikanan sentiasa memandang serius kegiatan menangkap sotong tanpa lesen di perairan negeri ini, tindakan tegas boleh dikenakan terhadap mereka jika terbukti melanggar peraturan ditetapkan.

“Rondaan pasukan perlindungan sumber jabatan dilakukan secara berjadual membabitkan beberapa lokasi yang dikenal pasti menjadi tumpuan aktiviti mencandat sotong,” katanya dihubungi di Kuantan hari ini.

Beliau berkata, bulan lalu pihaknya berjaya menahan dua bot nelayan tempatan yang dilengkapi dengan 80 alat mencandat sotong bersama 16 awak-awak warga Vietnam di perairan dekat Tanjung Sekukuh, Pekan.

Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati bot berkenaan didaftarkan di Pekan tetapi tidak memiliki lesen melakukan aktiviti menangkap atau mencandat sotong.

Azahari berkata, dia sudah mengarahkan Bahagian Perlindungan Sumber JPP supaya lebih kerap melakukan rondaan terutama di perairan Pekan yang menjadi tumpuan nelayan asing menangkap hasil laut.

“Kita meminta kerjasama nelayan tempatan untuk memberi maklumat kepada JPP bagi membanteras kegiatan ini daripada terus berleluasa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Ogos 2019 @ 10:37 AM