BOT pukat tunda yang ditahan.
BOT pukat tunda yang ditahan.
Mohd Rafi Mamat


LIMA nelayan warga Myanmar hanya sempat melarikan diri sejauh dua kilometer (km) sebelum ditahan anggota Cawangan Perlindungan Sumber (CPS) Jabatan Perikanan Pahang di perairan Tanjung Sekukuh, Pekan, kelmarin.

Nelayan terbabit menggunakan bot pukat tunda lesen tempatan zon C pendaftaran Rompin dikesan menjalankan aktiviti menangkap ikan di kawasan larangan di kedudukan kira-kira 5.5 batu nautika dari kawasan itu.

Pengarah Jabatan Perikanan Pahang Abdullah Jaafar berkata, ketika rondaan pada 1.15 pagi, anggota CPS terserempak dengan bot berkenaan yang sedang menangkap ikan di kawasan itu.

Menurutnya, sebaik menyedari kehadiran bot CPS, tekong bot memecut laju bot mereka sebelum berjaya dihalang.

"Bot tunda terbabit ditahan kerana menjalankan aktiviti menangkap ikan kurang 12 batu nautika, dan melakukan kesalahan mengikut Akta Perikanan 1985.

"Pemeriksaan di atas bot berkenaan menemui lebih 100 kilogram pelbagai spesis ikan yang dipercayai untuk pasaran tempatan," katanya hari ini.

Abdullah berkata, kegiatan berkenaan dipercayai dilakukan bermula 9 malam hingga awal pagi, yang turut menyebabkan bubu nelayan pantai musnah kerana tersangkut pada pukat tunda yang digunakan.

"Kita juga mengesan ada pukat tunda yang dipotong kerana tersangkut pada batu karang, sekali gus menjadi perangkap maut pada penyu.

"Saya berharap nelayan pantai dapat menghubungi jabatan sekiranya terserempak dengan bot pukat tunda di kawasan larangan," katanya.

Abdullah berkata, pihaknya memandang serius kesalahan dilakukan bot tunda kerana ia bukan sahaja melanggar syarat lesen tetapi menyebabkan kemusnahan terumbu karang perairan negeri ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Julai 2020 @ 6:06 PM