BOT yang ditahan Jabatan Perikanan. FOTO ihsan Jabatan Perikanan Pahang
BOT yang ditahan Jabatan Perikanan. FOTO ihsan Jabatan Perikanan Pahang
Mohd Rafi Mamat


ENAM bot bersama 40 nelayan warga Vietnam ditahan kerana menjalankan aktiviti menyandat sotong di kawasan kurang 12 batu nautika perairan Tanjung Batu, Pekan, semalam.

Lima bot zon C dan sebuah bot menunggu unjang atau peranti pengumpul ikan (MPPI) berdaftar di Rompin dikesan berada di kawasan terbabit kira-kira 6.30 pagi.

Pengarah Jabatan Perikanan Pahang Abdullah Jaafar berkata, anggota Cawangan Perlindungan Sumber (CPS) Jabatan Perikanan Pahang yang melakukan rondaan menggunakan dua bot laju mengesan kegiatan dilakukan enam bot terbabit.

Katanya, apabila menyedari kehadiran anggota penguatkuasa nelayan terbabit segera bertindak memadam lampu yang digunakan sebagai umpan atau penarik sotong untuk datang hampir dengan bot mereka.

Menurutnya, siasatan mendapati bot terbabit berada di kawasan berkenaan lebih 10 jam, mereka menggunakan teknik joran buluh untuk menangkap sotong yang kini banyak terdapat di situ.

"Musim sotong sekarang mendorong nelayan terbabit berada di kawasan kurang 12 batu nautika, mereka seolah yakin pihak berkuasa tidak membuat rondaan di perairan terbabit.

"Bot terbabit kini ditempatkan di jeti Tanjung Gemok dan akan didakwa di bawah Akta Perikanan 1985," katanya dihubungi, di sini hari ini.

Beliau berkata, pemeriksaan di atas lima bot terbabit menemui lebih 500 kilogram (kg) sotong bernilai RM5,000 yang dipercayai untuk pasaran tempatan.

Abdullah berkata, pihaknya akan terus melakukan rondaan bagi memastikan kegiatan menyandat sotong di kawasan kurang 12 batu nautika tidak terus berlaku hingga menjejaskan pendapatan nelayan pantai di daerah ini.

Katanya, jabatan memandang serius kesalahan yang dilakukan nelayan terbabit kerana ia melanggar syarat lesen, tindakan tegas akan dikenakan pihak terbabit yang bersikap mementingkan diri sendiri.

"Saya berharap nelayan pantai dapat menghubungi jabatan sekiranya mereka terserempak dengan bot zon C yang melakukan aktiviti menangkap ikan dan sotong di kawasan kurang 12 batu nautika.

"Kita tidak akan berkompromi dengan pihak yang menyalahi undang-undang," katanya.

Tamat

Tamat

From: Mohd

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Julai 2020 @ 1:07 PM