Skuad Khas Harian Metro


PUTRAJAYA: Mewujudkan markas terapung menggunakan platform kapal bersaiz lebih besar antara kaedah berkesan dalam usaha membanteras aktiviti pencerobohan bot nelayan asing khusus dari Vietnam di perairan negara.

Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Laksamana Maritim Datuk Seri Zulkifili Abu Bakar berkata, kekangan aset bersaiz besar menyebabkan pihaknya terpaksa bergantung kepada khidmat KM Pekan untuk melaksanakan operasi hingga ke sempadan Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ).

Beliau berkata, jika pihaknya mempunyai aset yang lebih besar iaitu kapal induk penguat kuasa agensi itu boleh berada di laut bagi tempoh lebih lama hingga 30 hari berbanding 14 hingga 20 hari dengan aset yang ada sekarang.

Setakat ini katanya, KM Pekan dilengkapi tiga bot dan pihaknya bercadang menambah lagi jumlah aset itu.

“Jika pihak kami memperolehi empat unit kapal induk ia mampu membantu menjalankan operasi di Pantai Timur Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak dengan berkesan. Jika kapal ini berada pada melebihi 100 batu nautika dari pantai, pengawasan boleh dilakukan secara optimum.

“Kapasiti kapal induk yang lebih besar termasuk dilengkapi enam bot membolehkan rondaan pada radius 40 batu nautika dan itu sudah cukup luas.

ZULKIFILI menunjukkan sistem pengawasan maritim untuk mengesan kedudukan bot nelayan Vietnam berdasarkan Sistem Pemantauan Automatik (AIS).
ZULKIFILI menunjukkan sistem pengawasan maritim untuk mengesan kedudukan bot nelayan Vietnam berdasarkan Sistem Pemantauan Automatik (AIS).

“Kapal sepanjang 110 meter ini juga boleh dilengkapi pesawat tanpa pemandu (UAV) bagi memantapkan lagi risikan dan pengawasan dari udara,” katanya ketika ditemui di pejabatnya, di sini, semalam.

Zulkifili berkata, pihaknya juga berharap dapat menambah dua unit pesawat pengawasan maritim (MSA) yang mampu terbang hingga 12 jam bagi memantapkan lagi operasi agensi itu.

Menurutnya, APMM kini sedang dalam proses perolehan enam unit Kapal Peronda Generasi Baru (NGPC) dan tiga kapal Peronda Luar Pantai (OPV).

“Tiga unit NGPC sudah diterima dan bakinya akan menyusul, begitu juga dengan OPV. Jika kerajaan meluluskan perolehan kapal induk sebagai platform markas terapung operasi kami akan menjadi lebih lancar.

“Saiz yang besar membolehkan kapal ini membawa bekalan bahan bakar, makanan dan air dalam jumlah lebih tinggi. Penugasan kru juga boleh dibahagikan kepada tiga syif kerana jumlah pegawai dan anggota dibawa lebih ramai,” katanya.


Penterjemah talam dua muka

PUTRAJAYA: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) mengesahkan ada dalam kalangan jurubahasa dari Vietnam pernah berkhidmat sebagai penterjemah di jabatan kerajaanseperti pihak berkuasa menjadi dalang kepada aktiviti mengklonkan bot dan lesen Alibaba.

Warganegara Vietnam boleh dianggap ‘pengintip’ atau bersikap talam dua muka itu sebelum ini dilantik sebagai penterjemah bagi membantu siasatan kes pencerobohan dan kecurian hasil laut negara khususnya di laut China Selatan.

Ketua Pengarah APMM Laksamana Maritim Datuk Seri Zulkifili Abu Bakar berkata, pengalaman diperoleh ketika bertugas sebagai jurubahasa memudahkan lagi dalang menjalankan aktiviti mereka.

“Mereka ini tahu kelemahan pihak berkuasa, ambil kesempatan dan eksploitasi kelompangan yang ada untuk memudahkan urusan mereka.

“Segelintir jurubahasa itu mengkhianati agensi kerajaan dengan menjual maklumat kepada pengusaha atau pemilik bot di Vietnam dengan bayaran tertentu.

“Hasil siasatan turut mendapati jurubahasa ini turut menjadi orang tengah antara pengusaha perikanan tempatan, pemilik bot di Vietnam dan pegawai pihak berkuasa,” katanya.

Menurutnya, dengan kemampuan sebagai jurubahasa dan kerjasama terjalin itu ada dalam kalangan mereka hidup kaya-raya dan turut memiliki bot nelayan sendiri.

Katanya, sehubungan itu berdasarkan maklumat perisikan, operasi Op Armada dilaksanakan Maritim Malaysia dengan kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan berhasil menahan wanita Vietnam bergelar ‘Datuk’ yang kesnya masih berjalan di mahkamah atas tuduhan memberi rasuah kepada pegawai penguat kuasa.

“Kami akan terus bekerjasama dengan SPRM untuk membanteras isu rasuah ini. Selain itu, kami turut dapati warganegara Vietnam bertugas sebagai kru di bot nelayan tempatan turut menjadi mata dan telinga sindiket khusus untuk memantau pergerakan bot pihak berkuasa.

“Bot nelayan tempatan dianggotai kru Vietnam termasuk mendapat taraf Penduduk Tetap (PR) itu tahu pergerakan aset penguat kuasa sebab berada di kawasan berdekatan dengan kita.

“Apabila lama menjadi kru, mereka tahu selok-belok urusan termasuk bagaimana mendapatkan lesen menggunakan proksi pengusaha bot nelayan tempatan,” katanya.

2 bot tempatan candat sotong tanpa lesen ditahan

KUANTAN: Jabatan Perikanan Pahang (JPP) menahan dua bot Zon C tempatan bersama 16 awak-awak warga Vietnam membawa 80 alat mencandat sotong tanpa lesen di perairan Tanjung Sekukuh, Pekan, Ahad lalu.

Pengarahnya Datuk Azahari Othman berkata, rondaan pasukan Bahagian Perlindungan Sumber JPP di perairan Pekan terserempak dengan dua bot berkenaan 21.5 batu nautika pada jam 9 pagi.

Katanya, pemeriksaan dijalankan mendapati bot itu berdaftar di Pekan namun tidak memiliki lesen melakukan aktiviti menangkap atau mencandat sotong.

“Tindakan pantas bot ronda Bahagian Perlindungan Sumber JPP bersama 10 anggota menahan bot bersama nelayan ketika mereka dipercayai dalam perjalanan pulang ke jeti selepas menangkap sotong.

“Pemeriksaan ke atas sebuah daripada bot itu membawa kepada penemuan hasil tangkapan sotong pelbagai saiz seberat 100 kilogram (kg) dipercayai untuk pasaran tempatan,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Julai 2019 @ 10:35 AM