ROSDI (kiri) menunjukkan rokok dan minuman keras yang dirampas dari sebuah premis perniagaan di Bau. FOTO Ihsan PGA
ROSDI (kiri) menunjukkan rokok dan minuman keras yang dirampas dari sebuah premis perniagaan di Bau. FOTO Ihsan PGA
Mohd Roji Kawi

SEORANG pemilik premis perniagaan di sekitar daerah ini ditahan selepas cuba merasuah anggota Pasukan Gerakan AM (PGA) sebanyak RM3,000 sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadapnya kerana menyimpan minuman keras dan rokok seludup, petang semalam.

Pegawai Pemerintah Batalion 11 PGA Superintendan Rosdi Inai berkata, suspek yang juga lelaki berusia 39 tahun itu ditahan pada serbuan dilakukan 11 anggota dan pegawainya yang turut disertai tiga pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) jam 1.20 petang.

Beliau berkata, sebaik pihaknya menemui minuman keras dan rokok seludup bernilai lebih RM238,000, suspek menawarkan wang terbabit.

"Kami menahan suspek dan menyerahkannya kepada pegawai SPRM," katanya pada kenyataan hari ini.

Rosdi berkata, serbuan dibuat hasil risikan serta maklumat awam.

"Pemeriksaan menemui 513 karton rokok putih, 300 karton rokok kretek dan 412 kotak minuman keras. Pemilik premis gagal mengemukakan dokumen sah berhubung pemilikan barangan itu.

"Barangan itu diseludup dari negara jiran melalui jalan darat dan ia untuk pasaran sekitar Kuching dan Bau," katanya.

Menurut beliau, kes itu kemudiannya diserah kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bau dan ia disiasat mengikut Seksyen 135 (1) Akta Kastam 1967.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Julai 2020 @ 4:26 PM