Garret Dawum

PASUKAN Gerakan Am (PGA) menumpaskan sindiket pengedaran rokok seludup dengan merampas 1,600 karton rokok yang dianggarkan bernilai RM304,000 di Kota Sentosa, Kuching, semalam.

Pegawai Pemerintah Batalion 11 PGA Sarawak, Superintendan Rosdi Inai berkata, rokok terbabit dirampas menerusi Operasi Libas di rumah kedai terbiar di kawasan berkenaan pada jam 10.45 pagi.

“Hasil risikan dan maklumat awam, seramai sembilan pegawai dan anggota melancarkan operasi di rumah kedai terbiar itu dan pemeriksaan menjumpai rokok dipercayai belum lulus Kastam.

“Seorang lelaki yang disyaki penjaga premis terbabit berjaya melarikan diri selepas menyedari kehadiran pihak berkuasa,” katanya dalam sidang media di Kuching, hari ini.

Rosdi berkata, maklumat awal yang diperolehi mendapati rokok itu dipercayai diseludup dari negara jiran dan akan dipasarkan ke pasaran tempatan.

“Kes ini diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

“Akta itu membawa kepada denda minimum 10 kali nilai barang dan maksimum 20 kali nilai barang atau penjara tidak lebih tiga tahun jika sabit kesalahan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Oktober 2019 @ 12:18 PM
PEGAWAI Pemerintah Batalion 11 Pasukan Gerak Am (PGA) Kuching, Superintendan Rosdi Inai (kanan) menunjukkan sebahagian 1,600 karton rokok seludup yang berjaya dirampas pada sidang media Ops Libas, di Ibu Pejabat Batalion 11 Pasukan Gerak Am (PGA)di Kuching. FOTO Hazreen Mohamad