Rosdi (dua kanan) menunjukkan bir seludup yang dirampas dari sebuah premis di Bukar-Sadong Land District di Serian.
Rosdi (dua kanan) menunjukkan bir seludup yang dirampas dari sebuah premis di Bukar-Sadong Land District di Serian.
Oleh Melvin Joni


SEORANG peniaga tidak sempat menjual 970 kotak bir yang diseludup dari Indonesia, apabila premisnya di Bukar-Sadong Land District di sini diserbu Batalion 11 Pasukan Gerakan Am (PGA) semalam.

Pegawai Pemerintah Batalion 11 PGA, Superintendan Rosdi Inai berkata, serbuan Ops Libas itu dibuat kira-kira jam 12 tengah hari sekali gus merampas minuman keras yang dianggarkan bernilai RM256,860 itu.

Katanya, 842 kotak minuman keras ditemukan disembunyikan di dalam premis manakala 128 kotak lagi di dalam sebuah van yang diletakkan di belakang premis.

"Minuman keras ini dipercayai diseludup dari negara jiran untuk dijual dalam pasaran tempatan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis (IPD) Serian, di sini hari ini.

Rosdi berkata seorang lelaki berusia 54 tahun yang mengaku sebagai penjaga premis terbabit turut ditahan.

Katanya, tangkapan dan rampasan diserah kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serian untuk siasatan mengikut Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967 yang boleh membawa hukuman denda 20 kali nilai barang atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 January 2020 @ 4:30 PM