Rokok seludup dianggarkan bernilai lebih RM1.9 juta yang dirampas dari sebuah premis di kawasan Bukar Sadong Land District, Serian, kelmarin.
Rokok seludup dianggarkan bernilai lebih RM1.9 juta yang dirampas dari sebuah premis di kawasan Bukar Sadong Land District, Serian, kelmarin.
Oleh Melvin

ANGGOTA Batalion 11 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kuching merampas 11,680 karton rokok seludup yang dianggarkan bernilai lebih RM1.9 juta dalam operasi Op Libas, semalam.

Pegawai Pemerintahnya Superintendan Rosdi Inai berkata, operasi membabitkan 13 pegawai dan anggota itu dijalankan pada jam 9.30 pagi selepas mendapat maklumat dan hasil risikan mengenai rokok terbabit.

"Kesemua karton rokok kretek dan putih pelbagai jenama itu disembunyikan di dalam sebuah premis di tingkat atas bangunan kedai di kawasan Bukar Sadong Land District," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya juga menahan seorang remaja lelaki berusia 17 tahun yang mengaku sebagai penjaga premis berkenaan.

"Hasil maklumat yang diperoleh, rokok ini dipercayai diseludup dari negara jiran dan akan dipasarkan ke pasaran tempatan," katanya.

Rosdi berkata, kes itu diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Serian untuk siasatan mengikut Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967 yang boleh membawa hukuman denda minimum 10 kali nilai barang dan maksimum 20 kali atau penjara tidak lebih tiga tahun jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Jun 2020 @ 6:33 PM