MINUMAN keras dan duit yang dirampas. FOTO Melvin Joni
MINUMAN keras dan duit yang dirampas. FOTO Melvin Joni
Melvin Joni


Kuching: Cubaan tiga lelaki menawarkan wang sogokan sebanyak RM5,000 hanya sia-sia apabila mereka bukan sahaja ditahan malah kesemua rokok dan minuman keras seludup yang dimiliki mereka dirampas.

Ketiga-tiga lelaki tempatan berusia 22 hingga 38 tahun itu ditahan dalam serbuan Op Kontraban yang dijalankan oleh pasukan Cawangan Risik Ibu Pejabat Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sarawak bersama-sama pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sarawak kira-kira jam 10.30 pagi semalam.

Komander PGA Sarawak Senior Asisten Komisioner Saini Bongkek berkata, serbuan dilakukan di sebuah premis di sini, yang disyaki dijadikan tempatan penyimpanan rokok dan minuman keras belum lulus cukai Kastam.

"Pasukan serbuan berjaya menahan ketiga-tiga suspek dan pemeriksaan turut menemui sebanyak 97 karton rokok dan 5,815.8 liter minuman keras pelbagai jenama yang disimpan di dalam premis kedai terbabit.

"Suspek juga menawarkan wang sogokan sebanyak RM5,000 agar pasukan serbuan tidak mengambil tindakan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM204,681.80 (termasuk cukai) merangkumi nilai rampasan rokok sebanyak RM12,550 dan minuman keras sebanyak RM122,131.

Saini berkata, tangkapan dan rampasan wang rasuah telah diserahkan kepada SPRM Sarawak.

Katanya, tangkapan dan rampasan di bawah Akta Kastam diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching untuk tindakan dan siasatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Julai 2021 @ 4:31 PM