JABATAN Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) menetapkan prosedur operasi standard (SOP) baharu berhubung pengurusan kemasukan rakyat Malaysia yang pulang dari Singapura di pintu masuk di Kompleks Sultan Abu Bakar  dan Bangunan Sultan Iskandar (BSI), bagi mengekang penularan  Covid-19. FOTO Mohd Azren Jamaludin
JABATAN Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) menetapkan prosedur operasi standard (SOP) baharu berhubung pengurusan kemasukan rakyat Malaysia yang pulang dari Singapura di pintu masuk di Kompleks Sultan Abu Bakar dan Bangunan Sultan Iskandar (BSI), bagi mengekang penularan Covid-19. FOTO Mohd Azren Jamaludin
Mohamed Farid Noh

JABATAN Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) menetapkan prosedur operasi standard (SOP) baharu berhubung pengurusan kemasukan melalui pintu masuk antarabangsa di Bangunan Sultan Iskandar (BSI), di Tambak Johor dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) di Tanjung Kupang, Gelang Patah.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri R Vidyananthan berkata, susulan itu, ujian saringan Covid-19 yang dilakukan di Singapura tidak lagi terpakai serta tidak lagi menjadi rujukan pihak berkuasa bagi kemasukan rakyat Malaysia yang bekerja di republik terbabit di pintu masuk negeri ini.

Katanya, tiada lagi kuarantin di rumah bagi mereka yang mempunyai surat ujian negatif Covid-19 yang dibawa balik dari Singapura sebaliknya mereka akan dihantar terus ke stesen kuarantin diwartakan kerajaan.

"SOP baharu itu membabitkan ketibaan warga atau penduduk tetap atau pemegang pas jangka panjang yang memasuki negara ini yang mana perlu melalui pengimbas suhu.

"Sekiranya didapati tidak demam, saringan kesihatan akan dijalankan sebelum individu dalam siasatan (PUI) dan individu dalam pemerhatian (PUS) yang mempunyai penyakit kritikal, sama ada dirujuk ke hospital atau terus dihantar ke pusat kuarantin bagi menjalani kuarantin wajib.

"Sekiranya demam, individu yang memasuki negara ini akan terus dirujuk ke hospital bagi rawatan dan pemeriksaan susulan, " katanya pada kenyataan, hari ini.

Sementara itu,Vidyananthan berkata, bantuan tunai RM250 hingga RM500 akan diberikan kepada rakyat Johor yang layak selepas penilaian dibuat oleh pihak berkaitan.

Katanya, inisiatif menerusi Bantuan Tunai Ihsan Johor adalah untuk membantu rakyat negeri ini yang terjejas ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Bagaimanapun, saya dapati ada kekeliruan dalam kalangan rakyat negeri ini berhubung permohonan untuk mendapatkan bantuan berkenaan.

"Insentif ini khas kepada golongan yang tidak mendapat sebarang bentuk bantuan daripada Kerajaan Persekutuan atau kerajaan negeri," katanya.

Menurut beliau, kerajaan negeri sudah melantik wakil penyelaras sebagai pemudah cara mewakili kerajaan negeri untuk mengenal pasti golongan yang tidak mendapat apa-apa bantuan.

Pada masa sama, wakil atau penyelaras yang dilantik adalah pemimpin masyarakat yang mengenali masyarakat setempat dan memahami realiti sebenar masyarakat yang terjejas.

"Penentuan individu yang layak menerima Bantuan Tunai Ihsan Covid-19 Johor tertakluk kepada penilaian akhir oleh sistem e-Ihsan Johor di bawah kendalian Perbendaharaan Negeri Johor," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 April 2020 @ 4:23 PM