TINJAUAN individu yang dikuarantin di Kuala Lumpur. FOTO Aswadi Alias
TINJAUAN individu yang dikuarantin di Kuala Lumpur. FOTO Aswadi Alias
Mohamed Farid Noh


SERAMAI 4,886 individu sedang menjalani kuarantin di 40 stesen kuarantin yang diwartakan di Johor, hingga semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R Vidyananthan berkata, daripada jumlah itu, 4,859 dikategori sebagai Individu Dalam Pemerhatian (PUS).

Manakala 27 lagi adalah Individu Dalam Siasatan (PUI) yang ditempatkan di stesen kuarantin berkenaan.

“Seramai 4,783 adalah adalah orang awam termasuk warga Malaysia yang bekerja di Singapura, 42 daripada kluster tabligh manakala 61 lagi adalah pelajar yang pulang ke Malaysia.

“Statistik harian juga menunjukkan penurunan individu di pusat kuarantin apabila hanya 4,886 individu direkodkan semalam, berbanding seramai 5,292 individu pada Ahad lalu,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Sementara itu, Vidyananthan berkata, sebanyak 10,749 rakyat Malaysia pulang memasuki semua pintu masuk antarabangsa di negeri ini sehingga kelmarin.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 5,566 individu dimasukkan ke pusat kuarantin di negeri ini.

“Kerajaan Johor mengambil perhatian serius mengenai perkara ini dan akan terus memastikan prosedur kemasukan rakyat Malaysia yang pulang dari Singapura akan terus dipantau melalui proses saringan yang ketat oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jabatan Imigresen (JIM) Johor.

“Sebanyak 17,665 ujian saringan Covid-19 juga sudah dijalankan bermula 18 Mac lalu sehingga kelmarin bagi rakyat Malaysia yang pulang menerusi pintu masuk di negeri ini,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 April 2020 @ 2:53 PM