PETUGAS barisan hadapan KKM melakukan ujian saringan kepada penduduk . FOTO Aswadi Alias
PETUGAS barisan hadapan KKM melakukan ujian saringan kepada penduduk . FOTO Aswadi Alias
Mohamed Farid Noh


TREND kemasukan rakyat Malaysia dari Singapura menyaksikan peningkatan setiap hari sejak Rabu lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R Vidyananthan berkata, peningkatan itu direkodkan melalui pintu masuk antarabangsa di Bangunan Sultan Iskandar (BSI), di Tambak Johor dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), di Tanjung Kupang, Gelang Patah.

"Sebelum ini, bilangan rakyat Malaysia yang balik melalui pintu masuk darat iaitu BSI dan KSAB adalah pada kadar purata 300 sehari.

"Bagaimanapun, bilangan ini meningkat melebihi 800 sehari sejak Rabu lalu.

"Bilangan yang ramai pada satu masa yang sama ini menjadikan waktu menunggu yang lebih lama untuk agensi terbabit melakukan saringan dan penempatan di pusat kuarantin," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Semalam Singapura dilaporkan mencatatkan pertambahan 897 kes positif baharu Covid-19 menjadikan jumlah keseluruhan kes kumulatif positif di republik itu melonjak kepada 12,075 kes.

Ia menyebabkan kerajaan Johor mengambil mengetatkan lagi prosedur kemasukan warga Malaysia yang pulang dari Singapura.

Semalam kerajaan Johor dilaporkan, tidak mengguna pakai lagi ujian Covid-19 yang dilakukan di Singapura sekali gus tidak lagi menjadi rujukan pihak berkuasa bagi kemasukan rakyat Malaysia bekerja di Singapura di pintu masuk negeri ini.

Langkah itu menyebabkan tiada lagi kuarantin di rumah bagi mereka yang mempunyai surat ujian negatif Covid-19 yang dibawa balik dari Singapura sebaliknya mereka akan dihantar terus ke stesen kuarantin diwartakan kerajaan.

Mengulas lanjut mengenai stesen kuarantin rakyat Malaysia pulang dari Singapura, Vidyananthan berkata, Johor mula menggunakan pusat kuarantin di luar daerah Johor Bahru dan Kulai bagi mereka menjalani kuarantin wajib mulai semalam.

"Ia membabitkan stesen kuarantin di daerah Kota Tinggi dan Batu Pahat bagi menempatkan mereka yang pulang dari Singapura yang semakin meningkat.

"Saya ingin menasihatkan rakyat Malaysia di Singapura supaya merancang waktu untuk balik ke Malaysia supaya dapat mengelakkan menunggu lebih lama daripada biasa," katanya.

Beliau turut menasihatkan, individu yang berhajat untuk melakukan perjalanan masuk ke negara ini menerusi Johor terutama rakyat Malaysia bekerja di Singapura supaya melakukan persiapan awal sewajarnya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 April 2020 @ 1:18 PM