FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Oleh Mohamed Farid Noh

Johor Bahru: Sejak wabak Covid-19 menular di negara ini tahun lalu, seramai 24,962 penduduk di Johor dijangkiti wabak itu sehingga hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R Vidyananthan, berkata 14,402 orang adalah rakyat tempatan manakala 10,560 adalah bukan warga negara terutama pekerja asing.

Katanya, ia termasuk 664 kes positif baharu yang direkodkan negeri ini yang dilaporkan semalam.

Beliau berkata, daripada jumlah itu sebanyak 15,857 kes jangkitan sudah sembuh dengan 9,032 kes masih dirawat manakala kes kematian pula meningkat kepada 73.

"Daripada 664 kes baharu dilaporkan semalam, sebanyak 340 kes daripada kluster sedia ada manakala 44 kes daripada kluster baharu.

"Terdapat tiga kluster baharu iaitu Kluster Parit Penyengat, Kluster Kampung Lukut dan Kluster Jalan Jelutong.

"Sebanyak 150 kes daripada saringan kontak rapat kes positif COVID-19, manakala 130 kes daripada lain-lain saringan Covid-19," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Vidyananthan berkata, seramai 4,159 individu sedang menjalani proses kuarantin di rumah di negeri ini.

"Daripada jumlah itu, seramai 1,491 individu sudah diperiksa dan dipantau dengan tiada individu diambil tindakan.

"Jumlah kumulatif individu yang dikenakan tindakan kerana ingkar perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah yang direkodkan sejak 29 Julai lalu pula ialah seramai 142 orang," katanya.

Beliau berkata, sebanyak 17 stesen kuarantin yang ditetapkan kerajaan dibuka sehingga kelmarin.

"Sebanyak 13 stesen kuarantin membabitkan hotel manakala empat lagi stesen kuarantin lagi adalah stesen kuarantin Institut Latihan Awam (ILA) dengan kapasiti semasa sebanyak 2,764 bilik yang mampu memuatkan seramai 2,800 orang," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Februari 2021 @ 2:56 PM