GAMBAR Hiasan. FOTO Eizairi SHamsudin
GAMBAR Hiasan. FOTO Eizairi SHamsudin
Mohamed Farid Noh


PEMATUHAN terhadap Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh Johor menunjukkan penurunan dua hari berturut-turut iaitu pada Khamis dan semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri R Vidyananthan berkata, kegagalan masyarakat mematuhi PKP membolehkan mereka didakwa didakwa mengikut Seksyen 22 (b) Akta Pencegahan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

“Kerajaan negeri mengesan penurunan pematuhan PKP di negeri ini pada dua hari berturut-turut.

“Pada Rabu, bacaannya ialah 97.02 peratus sebelum menurun kepada 96.96 peratus pada Khamis, seterusnya kepada 96.69 peratus semalam.

“Saya menyeru orang ramai supaya terus mematuhi PKP bagi memastikan kita berjaya memutuskan rantaian Covid-19,” katanya pada kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Vidyananthan berkata, sehingga semalam, Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) melaporkan penambahan 22 kes baharu Covid-19 di Johor.

“Ia menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di negeri ini sebanyak 416 kes namun tiada kes kematian baharu direkodkan bagi Johor semalam,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, 54 pusat kuarantin Covid-19 sudah diwartakan di Johor, sehingga semalam.

“Daripada jumlah itu, 14 pusat kuarantin Covid-19 sudah beroperasi,” katanya.

Ia membabitkan Akademi Pengangkutan Jalan (JPJ) Wilayah di Johor Bahru, Pusat Kegiatan Guru (Kulai), Kolej Yayasan Pelajaran Johor (Kota Tinggi), Kolej Kediaman Universiti Tun Hussein Onn Malaysia Kampus Pagoh (Muar), Kompleks Bimbingan Usahawan Tani (Pagoh) dan Pusat Latihan JAKOA di Kluang.

Turut beroperasi adalah Kompleks Rakan Muda, Sukan Air dan Udara, Hotel Seri Malaysia (Mersing), Pangsapuri Awam Perwira, di Kampung Parit Sempadan Laut Parit Raja (Batu Pahat), Kolej Vokasional Tanjung Piai (Pontian), Pusat Latihan Dan Rekreasi FELCRA Tebing Tinggi, Segamat, Pusat Kegiatan KEMAS Sagil (Tangkak), Malaysia Productivity Corporatioan Southern Region (MPC) (Johor Bahru) dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Pagoh di Muar.

“Sekiranya diperlukan, kerajaan negeri juga akan mengenalpasti aset lain untuk dijadikan pusat kuarantin, termasuk hotel dan bangunan swasta yang bersesuaian,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Vidyananthan berkata, kerajaan negeri mendapat laporan bahawa terdapat kerja nyah cemar dan sanitasi di tempat awam yang dikelolakan oleh orang awam.

Katanya, tiada kebenaran diberikan untuk kerja nyah cemar dan sanitasi di tempat awam sama ada daripada individu, syarikat atau mana-mana

pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Kerja nyah cemar dan sanitasi awam hanya boleh dilakukan oleh pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan agensi berkaitan.

“Namun begitu, orang awam juga boleh melakukan proses nyah cemar dan sanitasi di kediaman masing-masing dengan menggunakan cecair peluntur komersial dengan kadar 1:10 iaitu satu liter bahan peluntur dan 10 liter air bagi bersama-sama mengekang penularan wabak

ini,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 April 2020 @ 4:54 PM