DATUK Hasni Mohammad. FOTO arkib NSTP
DATUK Hasni Mohammad. FOTO arkib NSTP
Mohamed Farid Noh


Iskandar Puteri: Kerajaan negeri komited mengumpulkan data rakyat menerusi Agenda Digital Johor bagi menyelesaikan isu keciciran mendapatkan bantuan bagi golongan sasar.

Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad berkata, kerajaan negeri berdepan kesukaran dalam melaksanakan secara menyeluruh Pakej Rangsangan Ekonomi Ihsan Johor sebelum ini terutama dalam menyalurkan bantuan kepada golongan sasaran kerana ketiadaan data rakyat Johor yang lengkap.

Katanya, data yang diperoleh kerajaan negeri setakat ini menerusi maklumat yang disalurkan badan berkanun dan pihak berkuasa tempatan selain ejen-ejen di pusat saluran Pakej Rangsangan Ekonomi Ihsan Johor.

"Kerajaan Johor sukar untuk mengesahkan maklumat mereka (pemohon) sama ada betul atau tidak, sekiranya mereka muat naik borang dalam talian.

"Oleh itu, kerajaan negeri membangunkan Agenda Johor Digital bagi memudahkan pengumpulan data secara berpusat sebagaimana dilakukan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Kementerian Kewangan," katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut berkata demikian bagi menjawab soalan dikemukan K Raven (BN- Tenggaroh) pada sesi Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor ke-14, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Hasni berkata, kerajaan Johor memperuntukkan sebanyak RM14 Juta inisiatif Bantuan Tunai Ihsan Johor dengan sasaran awal penerima setakat Jun tahun ini seramai 35,535 orang.

"Bantuan membabitkan bantuan tunai 'one off' sebanyak RM 250 dan RM 500 kepada rakyat Johor yang benar-benar layak iaitu mereka yang berpendapatan bawah RM4,000 dan tidak pernah menerima sebarang bentuk bantuan kerajaan Persekutuan mahupun negeri.

"Bagi tujuan saringan permohonan secara merit, kerajaan negeri melalui Pejabat Perbendaharaan Negeri mewujudkan satu sistem iaitu Sistem E-Ihsan Johor," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 November 2020 @ 2:08 PM