AHMAD bersenam selepas solat Subuh. FOTO IHSAN PEMBACA
AHMAD bersenam selepas solat Subuh. FOTO IHSAN PEMBACA
Muhaamad Hafis Nawawi

“SETIAP hari saya akan meluangkan masa sekitar 30 minit ke sejam melakukan senaman ringkas selepas solat Subuh bagi mengisi masa terluang sepanjang tempoh Perintah kawalan Pergerakan (PKP) ini kerana tiada kuliah,” kata penuntut tahun kedua Fakulti Undang-undang Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Ahmad Mus’ab Amri, 21.

Menurutnya, disebabkan pergerakan mereka terbatas jadi dia akan mengambil kesempatan setiap pagi untuk melakukan senaman ringkas itu dan pada masa sama dapat menyihatkan badan.

Dia yang berasal dari Negeri Sembilan berkata, selepas bersenam kebiasaannya saya akan menyiapkan tugasan diberikan pensyarah secara atas talian dan membuat kertas cadangan tesis.

“Selain itu, saya juga mengisi masa lapang dengan membuat carian kursus percuma atas talian yang ditawarkan Universiti Harvad.

“Kami memang tidak jumpa orang sangat dan kalau keluar bilik pun sekadar ingin melakukan senaman itu dan mengambil makanan disediakan pihak universiti,” katanya ketika dihubungi.

Katanya, memang ada perasaan ingin pulang ke kampung tetapi bimbang akan menyebabkan berlaku kluster baru dia terpaksa akur dengan arahan supaya kekal berada di kampus.

Sementara itu, penuntut tahun ketiga Sarjana Muda Sains Dengan Kepujian (fizik) Muhammad Fazli Isnhah, 23, berkata, secara amnya, tiada aktiviti khusus untuk mahasiswa yang masih di kampus.

“Kami akan membuat jadual sendiri untuk dijadikan rutin harian di mana kebiasaannya saya akan melakukan senaman selepas solat Asar dan menyiapkan tesis.

“Selepas maghrib pula saya akan telefon keluarga bertanya khabar dan mengisi masa lapang dengan melihat perkembangan semasa di laman sosial seperti di Twitter, Facebook dan Youtube.

“Selepas itu barulah baca sedikit artikel untuk saya mencari idea bagi ditulis dalam tesis,” katanya.

Bagi penuntut tahun dua Sarjana Muda Kewangan Universiti Malaya (UM), Nurul Fatin Nabihah Zainudin, 21, pula dia menghabiskan masa menyiapkan tugasan diberikan pensyarah.

“Cuma setakat ini kami diberitahu kelas atas talian akan bermula 27 April ini dan jika tidak membuat tugasan diberikan itu saya akan mengisi masa terluang membaca novel atas talian.

“Kami banyak menghabiskan masa di dalam bilik sahaja kerana pergerakan agak terbatas dan jujur memang ingin pulang ke kampung tetapi demi keselamatan keluarga saya reda dan akur dengan arahan,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 April 2020 @ 1:11 PM