MOHAMMED bersama keluarganya pulang ke Palestin 10 September lalu.
MOHAMMED bersama keluarganya pulang ke Palestin 10 September lalu.
Oleh Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: "Semuanya akan okay dan baik-baik saja. Teruskan berhubung".

Itu mesej terakhir calon Doktor Falsafah (PhD) Pengurusan Sumber Manusia, Universiti Sains Islam Malaysia (Usim), Mohammed J H Alzaanin kepada penyelianya, Dr Ibrahim Fahad Sulaiman sebelum pulang ke Palestin pada 10 September lalu.

Mohammed bersama isteri, Kholoud MH Elzaneen yang juga penuntut Program Sarjana Sains (Mod Penyelidikan), Fakulti Sains dan Teknologi Usim bersama 20 ahli keluarga lain terkorban dalam serangan bom rejim Zionis di perkampungan mereka di Bait Hanon, Gaza, Palestin, Ahad lalu.

Ibrahim, 43, yang juga pensyarah di Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan Usim berkata, beliau menyelia arwah selama hampir empat tahun hingga selesai proses viva pada 3 Julai lalu.

Tajuk tesis Mohammed ialah The Effect of Management Information System and Participative Decision Making On Employees Performance Mediated By Jobling Satisfaction At The Palestinian Ministry of Interior.

"Arwah penuntut yang baik, merendah diri, pemalu dan sabar. Saya menyelia dia sejak awal sehingga dia menyiapkan tesis. Dia sangat rajin, setiap kali selesai menulis, dia akan mesej mengajak berjumpa dan berbincang. Pendek kata, saya jaga semua proses sepanjang dia menulis dan menyiapkan tesis.

"Dia menangis sewaktu dimaklumkan lulus proses viva. Sepatutnya sekarang ini adalah proses dia membuat pembetulan. Namun, takdir berbeza buat dirinya," katanya, semalam.

Menurutnya, Mohammed datang berjumpa dengannya dua minggu sebelum pulang ke Palestin.

"Mohammed datang jumpa saya sebab nak ucap selamat tinggal. Ketika itu, Mohammed sempat membuat panggilan video dengan ayahnya di Palestin.

"Ayahnya mengucapkan terima kasih kepada saya kerana menjaga Mohammed sehingga selesai PhD dan dapat gelaran Doktor Falsafah. Saya juga berjanji akan membuat satu salinan tesis untuk Mohammed.

"Banyak kali Mohammed ucap terima kasih selain gembira kerana berjaya tamatkan pengajian serta menyiapkan tesis. Mohammed juga anggap saya umpama adik-beradiknya dan mahu kami kekal menjaga ukhuwah ini sampai bila-bila," katanya.

Menurutnya, gambar selfie sebagai kenangan terakhir bersama mereka tidak sempat dikirim Mohammed.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Oktober 2023 @ 12:31 PM