Mohd Amin Jalil


TIDAK mahu sekadar terperap di rumah sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan, penuntut Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai, ini mengisi masa lapangnya menjadi sukarelawan menjahit pakaian perlindungan diri (PPE) yang dianjurkan universiti.

Siti Munirah Nasaruddin, 21, berkata, dia terdetik menjadi sukarelawan menjahit PPE itu selepas terbaca iklan Pusat Keusahawanan universiti yang mahu menghasilkan PPE untuk disumbangkan kepada petugas barisan hadapan.

Menurutnya, kebetulan dia menetap di Pajam, Nilai dan membuat keputusan untuk bersama menjayakan usaha murni universiti ini, tambahan pula keluarga menyokong hasratnya itu.

“Sejak PKP dikuatkuasakan, banyak masa terluang di rumah yang kadang-kala diisi dengan kuliah secara atas talian, selain menyiapkan tugasan dan membantu pensyarah.

“Kini saya mempunyai rutin yang baharu, iaitu menjahit PPE bersama rakan lain sejak minggu lalu di Pusat Inkubator Jahitan USIM dari 9 pagi hingga 5 petang,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Penuntut Bioteknologi Makanan, Fakulti Sains dan Teknologi, USIM itu adalah antara 30 sukarelawan menjayakan projek menjahit PPE untuk disumbangkan kepada hospital.

Siti Munirah berkata, dia gembira kerana kemahiran jahitan hasil tunjuk ajar ibunya, Fatimah Mohamed, yang juga seorang tukang jahit, dapat dimanfaatkan untuk menjayakan projek murni itu.

Menurutnya, menjahit PPE tidak semudah menjahit pakaian biasa, namun melalui tunjuk ajar ibu yang lebih berpengalaman, perkara itu menjadi mudah.

“Melalui bimbingan ibu, saya makin selesa dan cekap menyelesaikan tugasan jahitan PPE setiap hari dan gembira kerana dapat memanfaatkan kemahiran jahitan ini untuk disumbangkan kepada negara,” katanya.

Katanya, ketika ini, Pusat Inkubator Jahitan USIM giat menyiapkan 3,000 unit PPE yang terdiri daripada gaun, pakaian keseluruhan dan kasut untuk disumbangkan kepada Hospital Ampang; Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh; Hospital Port Dickson dan Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJ) serta Klinik Kesihatan yang memerlukan.

“Saya akan terus menjayakan projek menjahit PPE ini untuk memberikan sumbangan selagi diperlukan dan berharap serta berdoa agar usaha kita memutuskan rantaian wabak Covid-19 ini mencapai kejayaan,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 April 2020 @ 5:31 PM
    SITI tekun membantu menyiapkan projek jahitan pakaian perlindungan diri di Pusat Inkubator Jahitan USIM Nilai.
    SITI tekun membantu menyiapkan projek jahitan pakaian perlindungan diri di Pusat Inkubator Jahitan USIM Nilai.