(KIRI) Azrul ketika dijemput van KKM. (Gambar kanan) Azrul ketika tinggal di PKRC Kompleks Belia dan Sukan Negeri Kelantan, Panji. FOTO Ihsan Azrul Al Hakim Ab Rahim
(KIRI) Azrul ketika dijemput van KKM. (Gambar kanan) Azrul ketika tinggal di PKRC Kompleks Belia dan Sukan Negeri Kelantan, Panji. FOTO Ihsan Azrul Al Hakim Ab Rahim
Hazira Ahmad Zaidi


Kota Bharu: Biarpun terpaksa ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) sebaik disahkan positif Covid-19, namun ia tidak menghalang seorang penuntut universiti yang sanggup membawa segala kelengkapan pelajarannya ke pusat berkenaan bagi memastikan satu pembentangan penting dapat dilaksanakan.

Azrul Al Hakim Ab Rahim, 24, yang juga pelajar semester akhir dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam mengakui agak sedih kerana terpaksa berada di PKRC dan dalam tempoh yang sama dia perlu membuat pembentangan bagi semester akhir.

Katanya, dalam keadaan kesihatannya yang terbatas pada ketika ini, dia perlu menggagahkan diri untuk menyiapkan tugasan yang diamanahkan oleh pensyarah serta membuat pembentangan secara dalam talian menerusi aplikasi Google Meet.

"Saya juga perlu mengikuti pembelajaran secara dalam talian menerusi sidang video maya yang dilakukan pensyarah.

"Saya dimasukkan ke PKRC Kompleks Belia dan Sukan Negeri Kelantan, Panji pada Jumaat lalu selepas ujian saringan yang dilakukan di Klinik Kesihatan Batu Gajah mengesahkan saya positif Covid-19.

"Hanya Allah SWT sahaja yang tahu perasaan saya pada ketika dan dalam masa sama terpaksa meninggalkan ayah, Ab Rahim Che Mah, 72, bersendirian di rumah selepas keputusan ujian saringan Covid-19 yang dilakukan ke atas ayah adalah negatif.

"Sebaik saya disahkan positif Covid-29, pada hari sama, van Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) datang mengambil saya di rumah yang terletak di Kampung Felda Kemahang, Tanah Merah untuk dibawa ke PKRC," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Anak keenam daripada tujuh beradik ini berkata, sebelum dibawa ke PKRC, dia sempat mengambil komputer riba dan beberapa buku rujukan untuk menyiapkan tugasan pembentangan ketika ditempatkan di PKRC.

"Sepanjang empat hari ditempatkan di PKRC, masa yang terluang dihabiskan untuk menyiapkan tugasan diberikan oleh pensyarah dan dalam masa sama semangat daripada ahli keluarga dan rakan-rakan banyak membantu ketika saya dirawat di sini.

"Selain itu, di PKRC ini juga membuatkan saya melupakan seketika bahawa diri ini adalah pesakit Covid-19 memandangkan ramai kawan senasib dengan yang berada di sini diibaratkan seperti keluarga dan dalam masa kami turut menunaikan solat berjemaah," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Jun 2021 @ 8:37 AM