LAK Mooi (tengah) selepas menerima skrol Ijazah Doktor Falsafah daripada Tun Juhar mewakili anaknya mendiang Ng Yi Ming. FOTO ihsan UMS
LAK Mooi (tengah) selepas menerima skrol Ijazah Doktor Falsafah daripada Tun Juhar mewakili anaknya mendiang Ng Yi Ming. FOTO ihsan UMS
Juwan Riduan


Kota Kinabalu: Seorang ibu terpaksa menahan sebak sebaik mendengar nama mendiang anak sebagai graduan pada Majlis Konvokesyen UMS ke-23, hari ini.

Ng Yi Ming, 35, yang meninggal dunia tahun lalu selepas mengalami masalah jantung menjadi seorang daripada penerima Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang psikologi.

Ibu penuntut berkenaan, Cheng Lak Mooi, 65, mewakili mendiang anaknya untuk mengambil sijil yang disampaikan Yang di-Pertua Negeri Sabah Juhar Mahiruddin.

Lak Mooi berkata, dia sangat gembira kerana dapat memenuhi hasrat mendiang untuk hadir dan menerima skrol bagi pihaknya.

Lak Mooi berkata, mendiang anaknya sangat rajin dan cekal mencapai kejayaan dalam pendidikannya.

Katanya, mereka sekeluarga sangat berbangga kerana mendiang berjaya melangkah ke peringkat tertinggi walaupun sedang menderita penyakit jantung.

"Mendiang membuat pembentangan Viva pada 21 Januari tahun lalu sebelum diberikan tempoh selama tiga bulan untuk membuat pembetulan tesis.

"Namun dia tetap berjaya melakukannya walaupun terpaksa berdepan dalam keadaan kesihatan yang kurang baik," katanya ketika ditemui.

Lak Mooi berkata, anaknya pernah menjalani rawatan pembedahan penggantian injap pada bulan September 2014.

"Dia menghembuskan nafas terakhir pada 21 Februari tahun lalu selepas lebih 20 tahun menderita penyakit 'mitral valve prolapse,'" katanya.

Untuk rekod, mendiang dianugerahkan ijazah secara anumerta dan seorang daripada 77 penerima Ijazah Doktor Falsafah (PhD) yang diraikan pada Majlis Konvokesyen UMS ke-23.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Jun 2022 @ 12:48 PM