Mohamad Wahab, 38, (kiri) dan Abdul Wahab Che Amin, 58, menunjukkan rangka wau berusi lebih setengah abad yang diwarisi daripada arwah bapanya. FOTO Noorazura Abdul Rahman
Mohamad Wahab, 38, (kiri) dan Abdul Wahab Che Amin, 58, menunjukkan rangka wau berusi lebih setengah abad yang diwarisi daripada arwah bapanya. FOTO Noorazura Abdul Rahman
Noorazura Abdul Rahman


Sik: Rasa cinta terhadap warisan permainan tradisional membuatkan seorang lelaki masih menyimpan rangka wau helang yang dipercayai berusia lebih 50 tahun.

Mohamad Wahab, 38, berkata, rangka wau milik arwah bapanya, Wahab Itam yang meninggal dunia pada usia 52 tahun itu masih disimpan hingga kini kerana ia antara wau terbaik yang pernah dimiliki oleh pembuat wau di kampungnya pada tahun 70-an.

Katanya, pemilik wau itu pernah menggunakan wau berkenaan untuk bertanding di negeri lain seperti Kelantan sebelum diserahkan pada bapanya pada pada awal 1980-an.

"Pembuat wau ini dikenali sebagai Pakwa Che Wali, dulu orang ramai belajar daripadanya untuk membuat pelbagai jenis wau. Wau ini rangkanya diperbuat daripada buluh hutan.

"Buluh hutan ini dikenali dengan sifatnya yang tahan lasak dan lebih kukuh, bagaimanapun untuk menjaganya saya perlu menyapu minyak dan melayur api bagi memastikan ia tidak 'ditebuk' serangga," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Lubuk Tualang di sini.

Mohamad yang lebih dikenali sebagai Cik Mat berkata, sejak bapanya meninggal pada April 2007, dia tidak pernah menerbangkan wau berkenaan kerana bimbing ia akan patah atau hilang.

Katanya, biar pun ramai yang datang ke rumahnya untuk meminjam rangka wau berkenaan, namun dia menolaknya dengan baik bagi memastikan rangka wau itu terus dipelihara.

"Panjang rangka wau pada bahagian sayap kira-kira dua meter, wau dulu dibuat dengan saiz besar untuk kepuasan orang yang bermain.

"Apa yang membezakan wau ini dengan wau zaman sekarang adalah wau ini diraut dengan teliti bagi memastikan keseimbangan apabila diterbangkan, dalam bahasa wau, kita akan kata wau ini lebih jinak apabila dimainkan.

"Malah bunyi wau ini juga lebih nyaring apabila berada di atas, ia berbeza dengan pembuat wau yang kurang mahir, wau akan nampak lebih liar dan bunyinya juga lain apabila diterbangkan," katanya yang juga penoreh getah.

Bagi anak murid yang pernah belajar dengan Pakwa Che Wali, Abdul Wahab Che Amin, 58, dia banyak menghabiskan masa lapang pada waktu remaja untuk belajar membuat dan bermain wau.

Katanya, dia menjadi saksi wau itu diberikan kepada arwah bapa Cik Mat yang juga gemar bermain dan aktif menyertai pertandingan wau pada tahun 1980 dan 1990-an.

"Sekarang Cik Mat mula belajar membuat wau dengan saya sejak sebulan lalu, dia pun sudah berjaya membuat beberapa wau untuk anak lelakinya.

"Saya yakin jika rangka wau ini dijaga dengan baik, ia dapat diwarisi hingga usianya (wau) 100 tahun walaupun kertas wau silih berganti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 April 2024 @ 11:30 AM