Oleh Mahani Ishak


Batang Kali: Calon Perikatan Nasional ( PN) dan Pakatan Harapan (PH) bertemu 'empat mata' di Pasar Tani Batang Kali ketika kedua mereka berkempen untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu pagi ini.

Calon PN, Khairul Azhari Saut dan calon PH, Pang Sock Tao sempat bergambar bersama sebelum masing-masing meneruskan kempen masing bagi hari kedua berkempen.

Kehadiran mereka pada pagi secara serentak bagi beramah mesra dengan pengundi terdiri dalam kalangan peniaga dan pengunjung di sekitar pasar Batang Kali.

Mengiringi Khairul Azhari l Ahli Parlimen Hulu Selangor, Hasnizan Harun dan mengiringi Sock Tao adalah Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan danAhli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman.

Menurut Khairul Azhari, dalam tempoh berkempen ini, beliau tidak mahu melakukan sebarang provokasi yang menyentuh calon lawan selain berazam mahu berkempen dengan cara positif.

"Fokus saya bertemu penduduk seramai yang boleh untuk saya memperkenalkan diri dan orang ramai menunjukkan reaksi positif terhadap PN.

"Alhamdulillah ini lokasi kedua dan saya berjumpa lebih 100 penduduk dengan matlamat berjumpa pengundi tidak kaum untuk mendapatkan sokongan mereka," katanya.

PRK Kuala Kubu Baharu akan berlangsung pada 11 Mei ini menyaksikan pertandingan empat penjuru antara calon daripada pelbagai parti termasuk PH (Pang Sock Tao), PN (Khairul Azhari Saut), Parti Rakyat Malaysia (Hafizah Zainudin) dan calon bebas (Nyau Ke Xin).

Ia diadakan susulan kematian penyandangnya Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lalu akibat kanser.

Pada Pilihan Raya Negeri Ogos tahun lalu, Kee Hiong menewaskan tiga pencabarnya daripada PN, PRM dan Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) dengan meraih majoriti undi sebanyak 4,119.

Khairul Azhari ketika ditanya mengenai pertembungan itu berkata, kedua-dua hanya menegur sapa antara satu sama lain.

"Kita bersaing dan berkempen secara sihat, kita perlu hormati sesama lain. Tidak cakap pasal kempen cuma bertegur sapa sahaja," katanya ketika ditemui di Pasar Pagi Batang Kali.

Tamat

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 April 2024 @ 11:47 AM
Calon PH, Pang Sock Tao (dua dari kiri) beramah mesra dengan calon PN, Khairul Azhari Saut (dua dari kanan) ketika walkabout di Pasar Pagi Batang Kali sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Kuala Kubu Bharu. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
Calon PH, Pang Sock Tao (dua dari kiri) beramah mesra dengan calon PN, Khairul Azhari Saut (dua dari kanan) ketika walkabout di Pasar Pagi Batang Kali sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Kuala Kubu Bharu. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM