Khairul Najib Asarulah Khan


POLIS Diraja Malaysia (PDRM) akan menempatkan dua anggota di unit Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang mempunyai indeks jenayah yang tinggi dalam masa terdekat.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, ia membabitkan 38 PPR di sekitar ibu negara dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Katanya, langkah itu diambil bagi mengurangkan faktor jenayah di kawasan ‘hotspot’ itu selain memudahkan polis mencegah jenayah dengan lebih pantas.

“Antara lokasi itu adalah PPR Seri Selangor, PPR Seri Alam, PPR Seri Sabah, PPR Bukit Jalil, PPR Desa Tun Razak, PPR Seri Pantai, PPR Pantai Ria, PPR Gombak Setia, PPR Seri Semarak, PPR Desa Rejang, PPR Air Panas, PPR Wahyu, PPR Beringin, PPR Intan Baiduri dan PPR Kampung Batu Muda.

“Bagi nilai sewaan rumah itu sudah ditetapkan dan fasa pertama akan membabitkan 27 PPR,” katanya kepada pemberita.

Beliau ditemui selepas Program Inisiatif Wilayah Peduli di PPR Desa Rejang, di Kuala Lumpur, hari ini.

Hadir sama, Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad, Ketua Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Datuk Seri Zulkifli Abdullah, Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Roslan Bek Ahmad dan Datuk Bandar DBKL, Datuk Nor Hisham A Dahlan.

Mengulas lanjut, Mazlan berkata, kegiatan jenayah yang sering berlaku di PPR berkaitan kecurian, kekerasan dan penagihan dadah.

“Sebanyak 492 kes jenayah direkodkan di PPR Kuala Lumpur dari Januari hingga Khamis lalu.

“Kita harap adanya polis mendiami kawasan itu dapat mengurangkan kes berkenaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 September 2019 @ 2:12 PM