Kalidevi Mogan Kumarappa


Kuala Lumpur: Polis memburu lelaki berusia 21 tahun selepas dia menikam ibunya, guru sekolah agama di Desa Rejang, Setapak, malam tadi.

Sumber polis berkata, dalam kejadian 8.30 malam itu, mangsa berusia 49 tahun parah selepas ditikam suspek yang dipercayai mengalami masalah mental di kediaman mereka.

Katanya, mangsa, guru wanita Sekolah Rendah Agama Al Amin, Setapak, ditemui terbaring di lantai rumah di Jalan Rejang, Sri Rampai, dalam keadaan berlumuran darah oleh dua lagi anak lelakinya yang baru pulang dari taman permainan berhampiran.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Zainuddin Ahmad yang mengesahkan kejadian itu berkata, suspek sudah menghilangkan diri selepas kejadian dan operasi memburu suspek sedang dijalankan.

"Kami sedang menjejakinya di sekitar kawasan Setapak Jaya, Desa Rejang dan Seksyen 10, Wangsa Maju serta kawasan berhampiran," katanya ketika dihubungi hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Februari 2016 @ 1:31 PM