FOTO Hiasan
FOTO Hiasan
Khairul Najib Asarulah Khan


TIDAK mempunyai pekerjaan. Itu antara alasan penyewa unit Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA) sehingga jumlah tunggakan sewa itu mencecah RM58 juta.

Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad berkata, tempoh tunggakan sejak sekian lama itu mengakibatkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengalami kerugian.

Katanya, alasan tidak mempunyai pekerjaan antara faktor mereka tidak membayar sewa perumahan terbabit.

“Dengan itu, kita mencari jalan dengan mewujudkan program Karnival Kerjaya di kawasan PPR dan PA dengan kerjasama Jobs Malaysia.

“Ini adalah salah satu langkah yang diambil Pakatan Harapan (PH) untuk menyelesaikan masalah sekian lama berkenaan,” katanya kepada pemberita.

Beliau ditemui selepas merasmikan Program Inisiatif Wilayah Peduli di PPR Desa Rejang, di Kuala Lumpur, hari ini.

Hadir sama, Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim, Ketua Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Datuk Seri Zulkifli Abdullah, Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Roslan Bek Ahmad dan Datuk Bandar DBKL Datuk Nor Hisham A Dahlan.

Mengulas lanjut, Khalid berkata, pihaknya tidak mahu menggunakan pendekatan ‘shock treatment’ kepada penyewa terbabit dengan terus mengambil tindakan sebaliknya cuba menyelesaikan masalah itu terlebih dulu.

“Kita beri tempoh tiga atau enam bulan untuk penduduk membayar sewa. Jika tidak berjaya, kita akan fikirkan kaedah lain.

“Selain itu, Program 1 Graduan 1 Rumah juga digalakkan disertai belia B40 bagi lepasan Sijil Pelajaran Malaysia yang tidak dapat menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi.

“Ia adalah program tajaan penuh yang anjuran Pure Education Sdn Bhd dengan kerjasama Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bersama pihak industri yang menawarkan program profesional peringkat diploma dan sijil selama 10 hingga 30 bulan secara percuma,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 September 2019 @ 3:14 PM