Muhaamad Hafis Nawawi


PEGAWAI dan anggota polis yang bertugas di lokasi tumpuan pelancong sekitar ibu kota akan dihantar mengikuti kelas Bahasa Inggeris bagi membantu mereka memberi perkhidmatan terbaik kepada pelancong sempena Tahun Melawat Malaysia 2020.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, beliau sudah berbincang dengan beberapa pihak untuk mengadakan kelas intensif itu supaya dapat memberi layanan lebih baik kepada pelancong yang datang ke negara ini terutama di Kuala Lumpur.

Menurutnya, kebiasaannya pelancong akan bertanya kepada polis dan dengan adanya kelas Bahasa Inggeris itu dapat membantu mereka menerangkan mengenai Malaysia.

“Kita mahu lihat mereka (pelancong) rasa dialu-alukan malah Unit Rondaan Bermotosikal (URB), Unit Peronda Polis (MPV) diperluaskan untuk menjaga keselamatan pelancong.

“Detektif juga ditempatkan di lokasi kerap berlaku jenayah jalanan dengan bilik gerakan khas diwujudkan bagi memantau keselamatan pelancong,” katanya.

Mazlan berkata demikian pada sidang media selepas Program Keselamatan dan Mencegah Jenayah Sempena Kempen KITA di Perumahan Awam Seri Perak, Sentul, di sini, hari ini.

Mengulas mengenai Kempen KITA, Mazlan berkata, ia adalah kerjasama polis dengan syarikat YTL sebagai tanggungjawab korporat (CSR) untuk memberi kesedaran dan membantu mereka dalam kes jenayah serta dadah.

“Bagi tahun ini, strategi turun padang ke Projek Perumahan Rakyat (PPR) di mana di Kuala Lumpur sahaja ada 63 PPR yang akan dilawati dan diadakan program ini.

“Jenayah dan dadah jika tidak dibendung akan menjadi masalah kepada masyarakat. Polis mengadakan kempen ini untuk membantu mereka berasa selamat dan selesa tinggal di PPR,” katanya.

Mazlan berkata, isu kecurian motosikal antara yang banyak berlaku di PPR kerana disebabkan ada yang tertinggal kunci, tidak mengunci motosikal dan sebagainya.

“Tahun lalu sahaja lebih 1,700 kes kecurian motosikal dilaporkan di Kuala Lumpur,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 January 2020 @ 12:15 PM
Mazlan bertemu dengan orang awam di PPR Seri Perak. FOTO Aswadi Alias.
Mazlan bertemu dengan orang awam di PPR Seri Perak. FOTO Aswadi Alias.