Azhar Shahrulnizam


Puchong: Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) hari ini memperuntukkan sebanyak RM33.6 juta kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi tujuan penyelenggaraan dan pengantian lif di lima kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR).

PPR yang terbabit adalah PPR Bukit Jalil, Perumahan Awam Desa Rejang, Perumahan Awam Seri Pangkor 1, Perumahan Seri Pangkor 2 dan Perumahan Awam Seri Seri Terengganu.

Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata, peruntukan ini akan membantu kerja penggantian 56 lif di 19 blok rumah PPR yang terbabit.

"Kerja itu akan dimulakan oleh DBKL pada tahun ini dan dijangka akan siap secara berperingkat sehingga tahun hadapan.

"Penyelenggaraan dan penggantian lif ini dijangka akan memberi manfaat kepada 9,274 orang penduduk di PPR tersebut," katanya ketika berucap dalam program Penyerahan Peruntukan bagi Inisiatif Belanjawan Madani 2023: Penyelenggaraan Lif untuk PPR di PPR Seri Malaysia, Taman Desa Petaling di sini, hari ini.

Program ini juga turut dihadiri oleh Ahli Parlimen Bandar Tun Razak Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Kamarulzaman Mat Salleh danKetua Pengarah Jabatan Perumahan Negara (JPN), Datuk N Jayaselan.

Menurutnya, sekiranya DBKL menunjukkan prestasi yang baik dalam kerja menggantikan lif, peruntukkan pada tahun hadapan akan ditambah lagi.

Sementara itu, beliau turut melancarkan enam lif yang digantikan di PPR Seri Malaysia di blok A dan juga Blok B.

"Sebanyak RM3.28 juta diperuntukkan kepada DBKL untuk untuk menggantikan lif enam lif ini. Penggantian dan penyelenggaraan ini juga adalah keperluan yang ditunggu oleh penduduk PPR ini kerana lif yang ada sudah berusia 19 tahun," katanya.

KPKT menerusi agensi URBANICE Malaysia turut mentransformasikan ruang komuniti di Blok B di PPR Seri Malaysia.

"Ruang Komuniti ini berkonsepkan 'Social Integration at Common Space." Ruang ini diharapkan dapat mencetuskan aktiviti sosial yang baik dan dapat membina hubungan komuniti yang sihat dan kukuh.

"Blok A juga akan mendapat kemudahan yang sama dan saya akan melakukan lawatan mengejut selepas ianya siap. Saya tidak mahu ruang ini dijadikan tempat meletakkan motosikal.

"Saya mengharapkan penduduk untuk sama-sama menjaga kemudahan ini kerana ia adalah tanggungjawab bersama," katanya.

Beliau turut mengingatkan penduduk untuk menjaga kebersihan supaya virus seperti chikungunya, demam denggi dan zika tidak akan merebak.

Beliau juga mensasarkan bermula pada tahun ini, 100 lif di kawasan PPR dapat digantikan.

"Dalam masa lima tahun kami sasarkan 500 lif untuk digantikan di semua kawasan PPR kos rendah dan sederhana.

"Saya jangka 750,000 penduduk akan mendapat manfaat daripada inisiatif ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Julai 2023 @ 3:29 PM